ARTIKEL

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan melalui kempen kesedaran kanser payudara.

Pertandingan yang berlangsung pada 10 dan 11 Oktober lalu itu mengetengahkan tema khas Kempen Pita Merah Jambu sebagai tanda sokongan terhadap usaha meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara, sekali gus mendidik generasi muda supaya lebih prihatin terhadap masyarakat.

Pengasas Razz Couture, Razlie Ali atau lebih dikenali sebagai Razz Ali berkata, pertandingan berkenaan dirancang bukan semata-mata untuk mencari pemenang, tetapi juga untuk memberikan penekanan kepada pembentukan sahsiah dan pengembangan potensi peserta.

Menurutnya, setiap kanak-kanak mempunyai keunikan dan kebolehan tersendiri yang wajar diberikan peluang untuk berkembang melalui pengalaman, bimbingan serta pendedahan kepada persekitaran baharu.

“Kami mahu mereka memahami bahawa keberanian mencuba, keyakinan diri dan nilai murni jauh lebih penting daripada sekadar memenangi pertandingan.

“Melalui tema Pita Merah Jambu, kami juga mahu menyemai sikap penyayang dan keprihatinan dalam kalangan generasi muda supaya mereka memahami kepentingan memberikan sokongan kepada individu yang berdepan dengan kanser payudara,” katanya ketika ditemu bual oleh Suara Sarawak selepas pertandingan ratu cantik cilik di pusat beli-belah The Hills baru-baru ini.

Razz berkata, keunikan edisi Karlas terletak pada gabungan pembangunan bakat dan mesej sosial yang disampaikan melalui aktiviti peragaan serta persembahan bakat.

Pertandingan itu dibahagikan kepada tiga kategori umur, iaitu Kategori A bagi peserta berusia lima hingga sembilan tahun, Kategori B (10 hingga 13 tahun) dan Kategori C (14 hingga 17 tahun).

Menurutnya, kriteria penilaian disesuaikan mengikut peringkat umur bagi memastikan setiap peserta diberikan peluang yang adil untuk menonjolkan kebolehan masing-masing.

Bagi peserta paling muda, penekanan diberikan kepada keberanian untuk tampil di hadapan orang ramal, keaslian diri dan keseronokan menyertai aktiviti.

Sementara itu, peserta berusia 10 hingga 13 tahun dinilai berdasarkan keyakinan, pembawaan diri, kemahiran komunikasi dan kreativiti, manakala kategori remaja turut menitikberatkan kematangan, penguasaan pentas serta kualiti persembahan.

Razz berkata, peserta juga diberikan kebebasan untuk memilih persembahan bakat mengikut minat dan kebolehan masing-masing, termasuk nyanyian, tarian, bercerita, silat, deklamasi sajak, pidato dan berpantun.

Dalam pertandingan peragaan pula, aspek keyakinan dan karisma diberikan wajaran tertinggi, iaitu 30 peratus, diikuti gaya berjalan di pentas atau catwalk (20 peratus).

Kriteria lain merangkumi pengenalan diri dan komunikasi (15 peratus), penampilan keseluruhan dan aura (15 peratus), pakaian dan kreativiti (10 peratus) serta tata rias dan penampilan wajah (10 peratus).

Yuran penyertaan sebanyak RM60 merangkumi sijil penyertaan, nombor peserta, tag nama, bimbingan asas peragaan, rakaman acara serta peluang menerima maklum balas daripada panel juri.

Pemenang dan peserta yang berpotensi juga boleh dipertimbangkan untuk menyertai acara fesyen, sesi fotografi promosi serta program pembangunan bakat anjuran Razz Couture dan rakan strategiknya.

SARAFINA ARISYA JIHEL muncul juara Kategori C.

Razz berharap Putra Putri Cilik Edisi Karlas dapat berkembang menjadi acara tahunan yang menghimpunkan lebih ramai peserta dari pelbagai daerah di Sarawak.

Beliau berkata, matlamat jangka panjang penganjuran itu adalah untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berbakat, malah memiliki keyakinan diri yang tinggi, disiplin dan rasa bangga terhadap identiti diri.

“Kami berharap platform ini terus membuka peluang kepada anak-anak Sarawak untuk mengembangkan potensi mereka, sambil belajar menghargai orang lain dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Bagi keputusan pertandingan, tempat pertama Kategori A dimenangi oleh Muhd Irfan Hanif, diikuti Nurzaskia Mikhayla di tempat kedua dan Nur Dini Aiman di tempat ketiga.

Kategori B pula menyaksikan Nurqistina Batrisyia Samsudin muncul juara, manakala Nurdhamia Hasna Hasbullah meraih tempat kedua dan Nur Dini Arsyad menduduki tempat ketiga.

Bagi Kategori C, Sarafina Arisya Jihel menduduki tempat pertama, diikuti Mettachan Yu Mei Yia di tempat kedua dan Mervelynersty Miszwana di tempat ketiga.

BERITA LAIN

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

Bahagia di rumah sendiri

MELANGKAH ke alam perkahwinan bukan sekadar menyatukan dua hati, sebaliknya menuntut pasangan membina kehidupan baharu dengan penuh tanggungjawab, persefahaman dan kematangan. Antara perkara yang wajar

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road