PEMAIN muda tenis Sarawak komited untuk meraih pingat emas dalam temasya Sukma 2021 di Johor.
Muhammad Aiman Hamdan, 19, berasal dari Kuching dan pernah meraih pingat gangsa (Sarawak, 2016) dan perak (Perak, 2018) di dua temasya Sukma yang lepas berharap dapat memperolehi pingat emas buat pasukan Sarawak.
“Setakat ini, saya hanya baharu memulakan latihan sejak bulan Mei lepas iaitu berlatih bersama jurulatih untuk sesi pagi dan petang di gelanggang tenis SLTA.
“Fokus utama latihan saya sekarang adalah mengembalikan kecergasan dan ketahanan fizikal setelah lama berehat daripada sebarang latihan di gelanggang,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Beliau yang pernah mewakili Malaysia ke Sukan Sea di Filipina tahun lepas menyatakan menghadapi cabaran yang sukar apabila tidak dapat berlatih bersama jurulatih di gelanggang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19.
“Bagaimanapun, jurulatih kami ada membuat satu video latihan dalam talian supaya atlet dapat mengekalkan kecergasan fizikal walaupun hanya berlatih dari rumah,” ujar Aiman.
Beliau yang juga merupakan penyandang pemain muda kedua terbaik Malaysia apabila mendapat pingat perak dalam Kejohanan Tenis Masters Malaysia 2019 di Kuala Lumpur.
Dalam kejohanan tersebut hanya lapan pemain terbaik negara sahaja berentap untuk merebut gelaran juara.
Selain itu, Aiman turut membuat persiapan ke Kejohanan Tenis Piala Davis untuk tahun hadapan setelah kejohanan tersebut dijadualkan berlangsung pada bulan Mac terpaksa dibatalkan akibat pandemik Covid-19.



