DARO: Masalah jantung yang dihidapi tidak menjadi penghalang bagi Zurina Maulad Jeraee, 34, untuk terus mencari rezeki melalui perniagaan air balang di Kampung Itol, Daro.
Walaupun kesihatannya tidak menentu, semangat wanita tabah ini tetap kental meneruskan usaha bagi menyara kehidupan keluarga sambil berbakti kepada masyarakat.

Zurina yang sudah hampir sedekad mengusahakan gerai kecil berhampiran sekolah menengah di kampungnya itu, menjadikan minat berniaga sebagai sumber kekuatan untuk terus melangkah.
Katanya, perniagaan bukan sekadar mencari keuntungan semata-mata, sebaliknya menjadi wadah bersedekah kepada pelanggannya, khususnya kepada pelajar sekolah.
“Walaupun untung tidak besar, saya anggap ini rezeki yang dikongsi bersama. Ramai pelajar yang datang membeli, dan saya gembira dapat membantu mereka,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Itol.
Zurina berkata, dia mewarisi perniagaan itu daripada ibu mentuanya sejak 2016 dan bertekad untuk meneruskannya walaupun berdepan ujian kesihatan.
Baginya, penyakit jantung yang dialami bukan alasan untuk berputus asa, malah menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha demi keluarga.
Selain menjual pelbagai jenis air balang, Zurina turut menawarkan rojak serta makanan ringan sebagai tarikan tambahan kepada pelanggannya.
Bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan terjamin, Zurina menekankan proses penyediaan yang teliti termasuk memasak air dan gula terlebih dahulu.
Selain berniaga, dia juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan seperti program Seberkas, Pertubuhan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) serta kegiatan di kampung dan surau.

