SETIAP kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, hati pasti berdebar menanti saat pulang ke kampung halaman. Suasana rumah yang sibuk, aroma masakan ibu dan gelak tawa sanak saudara menjadi detik yang paling dirindui setiap tahun.
Namun bagi sesetengah perantau, pulang ke pangkuan keluarga bukanlah pilihan. Demi mencari rezeki, mereka terpaksa menyambut Lebaran jauh daripada orang tersayang
Bagi Neng, 26, berasal dari Sumatera Selatan, Indonesia, ini adalah pengalaman pertamanya bekerja di luar negara. Bersama suaminya, dia kini bekerja di sebuah kilang di Sibu.
“Ini pertama kali saya jauh dari keluarga. Biasanya kalau Lebaran, semua berkumpul di rumah. Tahun ini, hanya beraya bersama suami dan rakan-rakan saja,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak di Terminal Bas Kuching Sentral, hari ini.
Di kampung halamannya, hidangan tradisi seperti kemplang, klanting, kerupuk keriting Palembang dan rendang menjadi santapan istimewa. Walaupun jauh, Neng tetap cuba meraikan Lebaran secara sederhana bersama rakan senegara.

Perasaan rindu yang sama turut dirasai Rusita Busamat, 20, anak bongsu dalam keluarganya yang juga berasal dari Sambas, Indonesia.
“Saya sedih sebab ini pertama kali jauh dari keluarga semasa Hari Raya,” ujarnya. Rusita datang bekerja di Sarawak atas dorongan kakak sepupunya.
Walaupun keluarganya memberi izin, mereka sentiasa mengingatkan supaya menjaga diri di tanah orang.
Di kampung, ibunya biasanya menyediakan hidangan berempah pedas yang menjadi kegemaran keluarga setiap kali Hari Raya. Namun tahun ini, Rusita tidak dapat pulang kerana sudah dipanggil bekerja.
“Saya sebenarnya ingin tunggu sehingga selepas Raya, tetapi sudah dipanggil kerja ke Sarawak jadi tidak mengapalah, demi mencari sesuap nasi,” katanya.

Lebih getir lagi pengalaman Mirnawati Simin, 34, berasal dari Pontianak dan berketurunan Madura. Tahun ini, dia menyambut Lebaran di Kuching, jauh daripada dua anaknya yang berusia 15 dan 10 tahun, selepas kehilangan suaminya.
“Anak perempuan saya yang 15 tahun selalu sedih bila telefon. Dia tanya bila saya balik,” katanya dengan nada sebak.
Di kampung halamannya, hidangan seperti sate, bakso dan nasi ungkep menjadi santapan istimewa masyarakat Madura. Namun tahun ini, Mirnawati hanya mampu meraikan Hari Raya secara sederhana bersama rakan-rakan perantau.

Sementara itu, Mohd Suria Suhai, 39, pegawai khidmat pelanggan di Kuching Sentral sejak 2011 berkata, permintaan tiket bas meningkat menjelang musim perayaan.
“Kebanyakan orang membeli tiket secara dalam talian. Bila musim perayaan, memang cepat habis sebab satu bas hanya ada sekitar 38 tempat duduk,” jelasnya.
Destinasi popular termasuk Miri dan Bintulu, dengan ramai membuat tempahan seawal sebulan sebelum Hari Raya.
Walaupun ramai berpeluang pulang ke pangkuan keluarga, masih ada yang terpaksa menyambut Lebaran jauh dari kampung halaman.
Demi rezeki dan memastikan kehidupan keluarga di tanah air terjamin, mereka sanggup berkorban, menahan rindu yang mendalam. Bagi perantau, meninggalkan keluarga bukan mudah.
Namun setiap titisan keringat, setiap senyuman yang dikirim dari jauh dan setiap Hari Raya yang disambut tanpa orang tersayang dilakukan dengan satu harapan: agar usaha mereka di tanah orang mampu memberikan kehidupan lebih baik untuk keluarga yang menanti di kampung halaman.


