KUCHING: Air minuman jenama Orkid keluaran Sarawak Water dijangka mula disajikan kepada penumpang AirBorneo bermula dengan penerbangan sulung syarikat penerbangan milik Sarawak itu pada 20 Julai ini.
Menteri Utiliti dan Komunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, Sarawak Water kini sedang membuat segala persiapan yang diperlukan bagi memastikan bekalan air minuman berkenaan tersedia untuk penerbangan sulung tersebut.
“Seperti yang diumumkan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada hari pertama pelancaran air Orkid, Sarawak Water sedang membuat semua persiapan yang diperlukan, khususnya bagi penerbangan pertama pada 20 Julai ini.
“Insya-Allah, air Orkid akan terus disajikan dalam penerbangan AirBorneo. Ini merupakan langkah pertama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Persidangan dan Pameran Air dan Air Sisa Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Ketika ditanya sama ada produk yang akan diperkenalkan itu ialah air minuman atau air mineral, Julaihi menjelaskan bahawa produk berkenaan ialah air minuman.
“Air minuman dahulu. Ini langkah pertama,” katanya.
Sebelum ini, Premier melancarkan air minuman jenama Orkid yang bakal digunakan dalam penerbangan AirBorneo pada Rabu lepas (15 Julai) sebagai usaha mengetengahkan produk tempatan berasaskan sumber air Sarawak.
Menurut beliau, penggunaan air Orkid dalam penerbangan itu akan memberikan identiti tersendiri kepada AirBorneo dengan menawarkan air minuman yang dihasilkan daripada sumber air Sarawak, sekali gus mempromosikan produk keluaran tempatan kepada penumpang.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Malseni Jamal sebelum ini berkata, Orkid merupakan inisiatif pertama di bawah strategi pertumbuhan komersial syarikat utiliti berkenaan yang memberi tumpuan kepada penjanaan pendapatan bukan tarif bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya.
Beliau berkata, hasil yang dijana menerusi inisiatif tersebut akan disalurkan semula untuk memperkukuh pelaburan dalam infrastruktur bekalan air, inovasi digital, kecemerlangan operasi serta peningkatan mutu perkhidmatan pelanggan, manakala produk Orkid dijadual dipasarkan secara komersial mulai Oktober 2026.



