Air tangan Mamasal pikat pengemar kek

BERMULA hanya sekadar mengisi masa lapang, Salfizah Mohd Ismail, 34, seorang suri rumah sepenuh masa kini boleh tersenyum lebar apabila perniagaan kek yang diusahakan secara kecil-kecilan dari rumah sejak 2015, semakin mendapat sambutan. 

Percubaan beliau membuat dan menjual kek seperti brownies, marble, keju dan keju bakar membuahkan hasil apabila jenama ‘Mamasal’ kini berjaya menambat hati penggemar kek bukan sahaja di daerah Putatan tempat beliau beroperasi, bahkan mendapat permintaan sehingga ke Sandakan dan Ranau yang masing-masing terletak kira-kira 332 dan 106 kilometer dari Kota Kinabalu. 

Berasal dari Membakut, ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tiga dan tujuh tahun itu sedaya upaya cuba untuk tidak menghampakan pelanggan-pelanggannya. 

“Menerima tempahan dari jauh itu ibarat satu pencapaian kepada saya kerana ia secara tidak langsung turut mengembangkan jenama kek ‘Mamasal’ ke daerah lain termasuklah Tuaran dan Papar. 

“Tempahan pelanggan dari Sandakan dan Ranau dihantar menggunakan bas ekspres. 

Kek saya tidak ada di sana dan mereka ingin mencubanya. 

Walau pun sedia maklum akan risiko penghantaran seperti kek hancur dan rosak namun mereka tetap memberi kepercayaan kepada saya. 

Alhamdulillah kek sampai kepada pelanggan dalam keadaan yang baik,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini. 

Mengimbau saat berhasrat memulakan perniagaan dari rumah, Salfizah berkata langkah itu diambil selepas beliau berhenti kerja di sebuah syarikat swasta bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga. 

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan) dari Universiti Malaysia Sabah itu tidak betah hanya duduk ‘goyang kaki’ di rumah sebaliknya mencari idea yang boleh mendatangkan hasil bagi membantu suaminya Zabidi Zainun, 38, menambah pendapatan keluarga. 

Keputusan memilih kek sebagai produk perniagaan kecil-kecilan dibuat adalah kerana beliau sendiri merupakan penggemar pencuci mulut itu. 

“Saya mengambil inisiatif mendalami ilmu serta teknik pembuatan kek termasuklah ‘belajar’ dari laman sosial Facebook, Instagram dan YouTube. 

Pada mulanya saya hanya menjual kek brownies bagi menarik pelanggan memandangkan ketika itu tidak ramai yang menjualnya di Sabah tambahan pula bahan-bahan dan cara membuatnya mudah. 

“Sebelum mempromosikannya kepada pelanggan, saya terlebih dahulu memberikannya kepada ahli keluarga dan teman rapat untuk dicuba (rasa). 

Maklum balas yang diterima saya gunakan untuk menambahbaik kualiti kek sehinggalah mendapat ‘lampu hijau’ daripada ‘juri juri’ terdekat untuk memulakan langkah pertama (mengambil tempahan),” katanya. 

Bermodalkan RM50 Salfizah memberanikan diri menerima tempahan pertama kek brownies daripada pelanggan. 

Dengan modal itu juga beliau dapat menghasilkan empat kotak kek brownies dan meraih pulangan kira-kira RM200. 

“Sejak itu saya terus mengorak langkah dan menerima banyak tempahan kek daripada pelanggan,” katanya sambil menambah maklum balas positif daripada pelanggan memberi kepuasan buat dirinya dan menaikkan semangat untuk menghasilkan kek yang lebih sedap dan berkualiti. 

Setiap kotak kek ‘Mamasal’ dijual pada harga RM35 hingga RM60, bergantung kepada jenis dan saiz kek. 

Rata-rata pelanggan lazimnya membuat tempahan untuk sambutan hari jadi, hantaran pertunangan, ulang tahun perkahwinan dan buah tangan atau doorgift. 

Selain menggunakan bahan premium demi menjamin kualiti produk, Salfizah turut menitikberatkan aspek kebersihan serta menjaga hubungan baik dengan pelanggan. 

Katanya, itu adalah antara resipi penting untuk ‘mengikat’ pelanggan setia, menarik lebih ramai pelanggan baharu sekali gus memastikan sesebuah perniagaan mampu bertahan lama. 

Menggunakan kaedah pre-order atau pelanggan membuat tempahan awal bagi memastikan setiap kek dijual adalah yang baharu dibuat, beliau mempromosikan ‘air tangannya’ menerusi laman Instagram mamasal_brownies. 

“Saya membuka tempahan pada Isnin, Rabu dan Jumaat. 

Boleh dikatakan dalam tiga hari beroperasi saya mampu mendapat tempahan sehingga 20 kotak dengan hasil jualan kira-kira RM1,000,” katanya sambil menambah hasil jualan kek ‘Mamasal’ pernah mencecah sehingga RM8,000 sebulan selain beliau turut menawarkan harga istimewa ketika musim perayaan serta menjual kek di kafe, restoran dan beberapa kios. 

Turut mendapat sokongan penuh daripada suaminya yang merupakan seorang penjawat awam, beliau juga mahu menggunakan sepenuhnya perkhidmatan penghantaran makanan bagi memudahkan pelanggan di samping turut meninjau peluang menyertai aplikasi perniagaan dalam talian. – Bernama

Suara Sarawak