AirAsia sambung semula penerbangan domestik

KUCHING: AirAsia menyambung semula penerbangan domestik di negara ini bermula semalam di-ikuti Thailand pada 1 Mei, Indonesia 7 Mei dan 16 Mei di Filipina yang tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Air Asia, Datuk Kamarudin Meranun berkata, keputusan itu adalah hasil hubungan erat dengan pembekal dan rakan seperjuangan yang membolehkan syarikat kembali beroperasi pada tempoh yang mencabar ini.

“Kami tidak berhasrat untuk menerima pesawat baharu pada tahun ini dan mensasarkan untuk mengakhiri tahun 2020 dengan 242 buah pesawat yang kurang sebuah berbanding tahun lepas.

“Keputusan untuk menjual dan menyewa pesawat pada akhir tahun 2018 telah memberikan fl eksibiliti yang lebih besar kepada kami untuk mengurangkan pertumbuhan daripada memiliki pesawat baharu pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Kamarudin, syarikat Airasia telah mendapat harga yang terbaik pada masa ini meskipun keadaan pasaran utama berisiko menyingkirkan syarikat pesawat itu.

Beliau menjelaskan bahawa pihaknya menyusun semula strategi dalam syarikat termasuk pengawalan penggunaan bahan bakar bagi mengurangkan jumlah kerugian yang dijangka berikutan kesan pandemik Covid-19 yang melanda.

“Syarikat juga mempertimbangkan langkah yang diambil sebelum ini dalam pengurusan pembiayaan kos dan pemotongan gaji kakitangan kanan Airasia dengan menangguhkan perbelanjaan yang tidak penting pada masa ini.

“Kami berharap semua inisiatif ini dapat mengurangkan kos sekurang-kurangnya pada tahap 30 peratus pada tahun 2020 berbanding tahun lepas (YoY),” ujar beliau.

Mengulas mengenai penyambungan semula perkhidmatan, Kamarudin menjelaskan bahawa operasi penerbangan dilakukan berpandukan garis panduan yang ditetapkan untuk memastikan keselamatan semua penumpang.

Katanya, para penumpang dinasihati untuk memakai penutup muka dan mengamalkan langkah keselamatan yang disyorkan untuk mengelakkan penularan Covid-19.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa semua pesawat telah dilengkapi dengan Kecekapan Tinggi Penapis Udara (HEPA) dan setiap pesawat yang beropersai akan menjalani prosedur pembasmian kuman untuk menjamin kebersihan pesawat.

Beliau berharap, tempoh sukar yang dihadapi ini tidak mematahkan semangat semua pihak dalam semua aspek dalam kehidupan seharian.