KUCHING: AirAsia akan menambah penerbangan di antara Semenanjung Malaysia dengan Sarawak bagi menampung peningkatan permintaan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, AirAsia turut menawarkan tambang promosi sehala bermula serendah RM328 bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu, sekali gus membantu meringankan beban kewangan orang ramai sempena musim perayaan.
“Bagi perayaan Tahun Baharu Cina, AirAsia akan mengendalikan sebanyak 23 penerbangan tambahan dari 13 hingga 24 Februari.
“Manakala, sebanyak 25 penerbangan tambahan dari 18 hingga 26 Mac sempena Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan selepas menerima kunjungan hormat Pengarah Hal Ehwal AirAsia Sarawak, Hamdan Mohamad, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, langkah tersebut dilaksanakan bagi membantu rakyat Sarawak yang bekerja atau belajar di luar negeri untuk mempunyai akses penerbangan lebih baik dan dapat pulang ke kampung halaman bagi meraikan perayaan bersama-sama keluarga.
Selain itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak kekal komited dalam menyokong pelajar Sarawak melalui inisiatif Graduan Pulang Sarawak (I-GPS) 2026, program subsidi bagi membantu pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) membeli tiket penerbangan.

