AirAsia  tawar pas penerbangan tanpa had

KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd memanfaatkan perkembangan vaksinasi COVID-19 dengan memperkenalkan produk terbaharu, ‘ASEAN Unlimited’ yang menawarkan pas penerbangan antarabangsa dan domestik serta perkhidmatan penghantaran e-dagang tanpa had di aplikasi super airasia.

Kemudahan yang ditawarkan pada harga RM599, juga tersedia untuk semua Ahli AirAsia BIG di Malaysia dengan pembelian mulai 3 hingga 8 Mac 2021, manakala pengguna BigPay pula akan dapat menikmati diskaun sebanyak RM50.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes berkata AirAsia telah menerima banyak respons positif serta sokongan terhadap tawaran-tawaran baharu selain memberi nilai kepada pelanggan sedia ada.

“Sebagai sebahagian daripada persiapan untuk meraikan pemulihan perjalanan udara di rantau ini dan memacu ekonomi tempatan, kami berharap produk ini juga dapat menyumbang kepada industri pelancongan ASEAN bagi tempoh pasca-COVID,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com, Karen Chan, berkata tawaran kali berbeza dengan nilai lebih besar kepada pelanggan.

“Ini kerana, pemegang pas ‘ASEAN Unlimited’ itu boleh menebus penerbangan tanpa had domestik di Malaysia dan antarabangsa di seluruh ASEAN (apabila sekatan perjalanan dibuka, untuk kod penerbangan AK) bagi perjalanan pada 17 Mac 2021 hingga 26 Mac 2022, tertakluk pada ketersediaan penerbangan,” katanya.

Menurut AirAsia, penerbangan yang ditebus menerusi ASEAN Unlimited tidak termasuk cukai dan fi kerajaan, bayaran produk tambahan dan caj-caj lain yang dikenakan.

Tempahan penerbangan mesti dibuat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum berlepas dan tertakluk kepada tempoh embargo serta terma dan syarat lain.

Selain itu, AirAsia juga melanjutkan tempoh perjalanan AirAsia Unlimited Pass Cuti-Cuti Malaysia (RM399) dari 31 Mac hingga 30 Jun 2021 yang membolehkan pemegang pas menebus penerbangan tanpa had (penerbangan kod AK) di sekitar Malaysia.

Dalam pada itu, pemegang pas AirAsia X Unlimited (RM499) dan pas AirAsia Unlimited Pass Cuti-Cuti Malaysia juga boleh menikmati perkhidmatan penghantaran percuma tanpa had daripada kemudahan penghantaran ‘airasia shop, food, & fresh’ yang bermula sekarang. -BERNAMA

Suara Sarawak