ARTIKEL

Abang Johari (tengah) merasmikan pembukaan Hotel Legacy Hill di Jalan Ban Hock di sini, hari ini | Foto: Mohd Alif Noni

AirBorneo Bakal Lebarkan Sayap ke Jepun Tahun Hadapan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jepun akan dimasukkan dalam rangkaian penerbangan AirBorneo sebagai platform untuk Kerajaan Sarawak memperkukuh lagi hubungan dengan negara matahari terbit itu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, komitmen tersebut sekali gus menjadikan Jepun antara destinasi utama dalam rancangan perluasan laluan syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak berkenaan.

“Sekarang saya mempunyai ‘star’ (Anugerah The Order of the Rising Sun, Gold and Silver) daripada Jepun, jadi negara Jepun wajar berada dalam rangkaian kita.

“Sarawak turut bekerjasama dengan rakan di Jepun dan beberapa wilayah di China bagi mengatur laluan penerbangan dengan tempoh perjalanan sekitar enam jam yang dijangka dapat menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan Hotel Legacy Hill di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, AirBorneo dijangka memulakan operasi antarabangsa menjelang tahun hadapan.

“Penerbangan pada peringkat awal akan meliputi laluan luar biasa sebelum diperluas ke destinasi serantau termasuk Jakarta, Singapura, Bangkok, Hong Kong, Asia Timur dan Korea,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau optimis pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) baharu di Tanjung Embang serta pelabuhan luar pesisir akan turut memacu pertumbuhan ekonomi dan pelaburan di Sarawak.

“Lapangan terbang sedia ada tidak lagi mencukupi. Kerajaan Persekutuan juga telah menyatakan sokongan terhadap cadangan pembinaan lapangan terbang baharu ini.

“Selain itu, kita turut merancang pembinaan pelabuhan luar pesisir termasuk pelabuhan gas sebagai antara infrastruktur asas bagi menampung peningkatan aktiviti ekonomi,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, katanya, Sarawak menjangkakan kemasukan lebih banyak pelaburan yang akan meningkatkan permintaan terhadap kemudahan penginapan dan infrastruktur bandar.

“Sebab itu kita perlu menaik taraf kawasan pentadbiran seperti Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) agar bandar raya ini menjadi lebih kondusif dan mesra pejalan kaki.

“Kita sedang meneliti kemungkinan menjadikan beberapa jalan utama atau sisi sebagai laluan pejalan kaki, di samping memperindah kawasan kedai agar suasananya seumpama di Orchard Road,” tambahnya.

BERITA LAIN

Teknologi dan skala perniagaan kunci kenaikan gaji pekerja

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi dan peningkatan skala perniagaan mampu memperkukuh produktiviti serta keupayaan syarikat untuk mengembalikan hasil pertumbuhan kepada pekerja menerusi kenaikan gaji. Menteri Ekonomi,

BERITA TERBARU