ARTIKEL

Pesawat AirBorneo

AirBorneo beli lapan pesawat ATR baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak, AirBorneo terus mengorak langkah strategik apabila memeterai perjanjian pembelian lapan pesawat ATR baharu yang dijadualkan diterima secara berperingkat antara tahun 2027 hingga 2029.

Pesanan itu merangkumi lima pesawat ATR 72-600 dan tiga pesawat ATR 42-600, sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha pembaharuan armada serta pengukuhan operasi penerbangan, khususnya bagi menyokong pelaksanaan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).

Menurut kenyataan bersama AirBorneo dan pengeluar pesawat ATR, perjanjian yang dimuktamadkan pada penghujung 2025 itu turut merangkumi hak pembelian empat pesawat tambahan bagi menampung keperluan operasi dan pengembangan rangkaian pada masa hadapan.

Langkah strategik itu turut membuka potensi peluasan perkhidmatan melepasi rangkaian RAS, termasuk penerokaan laluan serantau dalam kawasan pertumbuhan ASEAN Timur yang melibatkan Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Kenyataan berkenaan menyifatkan perjanjian itu sebagai detik penting dalam fasa transformasi AirBorneo susulan pengambilalihan MASWINGS Sdn Bhd oleh Kerajaan Sarawak pada 2025 sebelum syarikat penerbangan itu dijenamakan semula.

Seiring pengambilalihan peranan sebagai pengendali utama RAS, AirBorneo kini memikul tanggungjawab strategik untuk menghubungkan kawasan pedalaman serta komuniti sukar diakses di Sarawak, Sabah dan Labuan.

Ketika ini, AirBorneo mengoperasikan lapan pesawat ATR 72-500 yang diteruskan daripada operasi MASWINGS sebelum ini.

Untuk rekod, Kerajaan Sarawak telah memuktamadkan pengambilalihan MASWINGS Sdn Bhd melalui entiti milik penuhnya, AirBorneo Holdings Sdn Bhd, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Perjanjian jual beli bagi pengambilalihan itu ditandatangani antara Malaysia Aviation Group dengan Kerajaan Sarawak pada 12 Februari 2025.

AirBorneo pada 2 Januari lalu turut melancarkan penerbangan sulung melibatkan laluan Kuching–Mukah menggunakan pesawat ATR 72-500 serta laluan Kuching–Tanjung Manis menggunakan pesawat DHC6-400.

BERITA LAIN

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS

KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil

BERITA TERBARU

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS

KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil