KUCHING: AirBorneo dicadang mempertimbangkan pelaksanaan tambang khas atau pelbagai manfaat eksklusif kepada rakyat Sarawak dengan sokongan mekanisme pengesahan identiti yang selamat menerusi platform SarawakPass.
Pemangku Setiausaha merangkap Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching Nicholas Wung Duk Ying berkata, walaupun AirBorneo memberi perkhidmatan kepada semua penumpang termasuk pelancong domestik dan antarabangsa, pengembara perniagaan serta penumpang serantau, syarikat penerbangan milik Sarawak itu juga wajar memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat negeri ini.
Menurutnya, keluasan geografi Sarawak menjadikan pengangkutan udara sebagai satu keperluan praktikal, khususnya bagi tujuan pendidikan, pekerjaan, rawatan perubatan, urusan keluarga dan pergerakan harian.
“Ramai rakyat Sarawak kini belajar, bekerja atau menetap di luar negeri termasuk di Semenanjung Malaysia dan luar negara.
“Bagi mereka, terutama golongan pelajar, setiap perjalanan pulang ke kampung halaman melibatkan kos yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Wung memberitahu, AirBorneo bukan sekadar sebuah projek komersial, sebaliknya membawa harapan untuk meningkatkan kesalinghubungan wilayah, mengurangkan kos perjalanan dan memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat Sarawak.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan Skim Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sarawak (i-GPS), yang menyediakan bantuan sebanyak RM300 bagi setiap permohonan, sehingga dua kali setahun atau maksimum RM600 setahun kepada pelajar Sarawak yang layak dan sedang melanjutkan pengajian di luar negeri.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar sistem tempahan tiket AirBorneo dihubungkan dengan SarawakPass serta sistem subsidi berkaitan supaya pelajar yang layak dapat menikmati potongan subsidi secara terus ketika membuat tempahan tiket.


