ARTIKEL

Abdul Karim bercakap kepada pemberita selepas sidang media SFCF 2026 di Baitul Makmur II, di sini, hari ini. Foto: RAMIDI SUBARI

AirBorneo perlu diberi masa untuk berkembang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Teguran terhadap syarikat penerbangan susulan gangguan perkhidmatan perlu dibuat secara adil dan tidak wajar hanya tertumpu kepada AirBorneo yang masih baharu dalam industri penerbangan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata AirBorneo perlu diberi ruang dan masa untuk berkembang memandangkan syarikat penerbangan milik Sarawak itu baru memulakan operasinya awal tahun ini.

“Mana-mana perniagaan termasuk penerbangan sentiasa mempunyai titik permulaan. Titik permulaan kita hanya awal tahun ini dengan tiga pesawat kecil, bukan pesawat jet.

“Justeru, tidak wajar menjangkakan AirBorneo mampu beroperasi setanding syarikat penerbangan antarabangsa yang sudah lama bertapak sejurus selepas dilancarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media Festival Makanan dan Budaya Samarahan (SFCF) 2026 di Bangunan Baitul Makmur II di sini, hari ini.

Menurutnya, syarikat penerbangan lain yang turut berdepan gangguan atau pembatalan penerbangan juga wajar diberikan penelitian yang sama bagi mengekalkan prinsip keadilan.

“Kalau hendak menegur, tegurlah semua pihak dan jangan hanya menegur AirBorneo.

“Saya lihat apabila ada sedikit sahaja aduan daripada penumpang AirBorneo, terus dikeluarkan surat tunjuk sebab.

“Tetapi apabila syarikat penerbangan lain membatalkan banyak penerbangan, mengapa perkara sama tidak ditegur?” jelasnya.

Sehubungan itu, ujarnya, AirBorneo tidak harus dinilai secara tergesa-gesa kerana syarikat tersebut masih berada pada peringkat awal pembangunan.

“Berlaku adillah kepada semua syarikat penerbangan. Beri kami masa untuk berkembang,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU