KUCHING: Pesawat ATR milik AirBorneo berpotensi digunakan bagi menyediakan perkhidmatan penerbangan tambang lebih murah khususnya untuk pelajar Sarawak yang menuntut di Semenanjung Malaysia dan pelajar Semenanjung Malaysia yang berada di Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan pesawat berkenaan dapat memberi peluang kepada golongan pelajar untuk berulang-alik di antara Sarawak dengan Semenanjung Malaysia dengan kos lebih berpatutan.

“Kita ada tambahan (pesawat), mengapa tidak kita gunakan ATR untuk pelajar kita dengan tambang murah dari Kuching ke Subang?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran penerbangan sulung AirBorneo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini hari ini.
Sementara itu, Abang Johari berkata, pesawat ATR yang kini digunakan AirBorneo selepas pengambilalihan operasi MASwings bukanlah aset lama yang akan dikekalkan untuk jangka panjang.
Beliau berkata, pesawat berkenaan akan digantikan dengan pesawat baharu menerusi rundingan bersama Malaysia Aviation Group (MAG).
Menurutnya, langkah itu bagi menjawab persepsi segelintir pihak yang mempersoalkan penggunaan pesawat ATR oleh AirBorneo.
“Insya-Allah, apabila kita berunding dengan MASwings, bukan kita ambil kapal terbang ini sahaja, kapal terbang ini akan ditukar dengan kapal terbang baharu,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan AirBorneo bukan sahaja tertumpu kepada operasi penerbangan komersial, malah turut mengambil kira keperluan rakyat Sarawak termasuk golongan pelajar.
Abang Johari turut berharap AirBorneo terus berkembang sebagai syarikat penerbangan milik Sarawak yang mampu memperkukuh hubungan Sarawak, Semenanjung Malaysia dan destinasi yang lain.





