ARTIKEL

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin meninjau persiapan operasi AirBorneo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.

AirBorneo sasar buka laluan ke Kota Kinabalu dan Jakarta awal tahun depan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: AirBorneo menyasarkan untuk membuka laluan penerbangan berjadual ke Kota Kinabalu dan Jakarta seawal tahun depan, seiring penambahan pesawat baharu ke dalam flotanya secara berperingkat sepanjang 2027.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, penambahan pesawat akan membolehkan syarikat penerbangan milik Sarawak itu memperluas rangkaian laluan domestik dan antarabangsa, sekali gus meningkatkan kekerapan serta menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan.

“Apabila mempunyai lebih banyak pesawat, AirBorneo akan berada pada kedudukan lebih baik untuk memperluas rangkaian laluannya secara berperingkat.

“Kita menyasarkan untuk memulakan perkhidmatan ke Kota Kinabalu dan Jakarta awal tahun depan, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan serta tahap kesiapsiagaan operasi.

“Ia juga mencerminkan kedudukan Sarawak yang semakin berkembang sebagai pintu masuk penerbangan serantau serta usaha meningkatkan keterhubungan demi manfaat rakyat dan ekonomi,” katanya selepas meninjau persiapan operasi AirBorneo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau pesawat Boeing 737-800 yang baharu diterima AirBorneo selain diberikan taklimat menyeluruh oleh pihak pengurusan berhubung persiapan operasi termasuk pengendalian penerbangan dan penumpang, sokongan kejuruteraan, prosedur keselamatan serta perkhidmatan darat.

Menurutnya, lawatan berkenaan bertujuan untuk memastikan semua persiapan berada pada tahap terbaik menjelang penerbangan pertama ke Semenanjung menerusi laluan Kuching-Kuala Lumpur-Kuching pada 20 Julai ini.

“Penerbangan AirBorneo ke luar Sabah dan Sarawak bukan sekadar pengenalan laluan baharu, tetapi merupakan satu lagi detik bersejarah dalam sektor pengangkutan kita.

“Ia mencerminkan visi jangka panjang Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh jaringan udara, meningkatkan kebolehcapaian serta menyediakan lebih banyak pilihan kepada orang ramai,” katanya.

Tambahnya, selepas penerbangan sulung Kuching-Kuala Lumpur-Kuching pada 20 Julai, AirBorneo dijadual memulakan penerbangan sulung Kuching-Singapura pada 22 Julai, sekali gus menjadi laluan antarabangsa berjadual pertama syarikat penerbangan itu.

“Pelancaran perkhidmatan Kuala Lumpur dan Singapura dalam tempoh yang begitu singkat menunjukkan kesiapsiagaan operasi serta kesungguhannya untuk memperluas rangkaian secara berperingkat,” tegasnya.

Dalam pada itu katanya, AirBorneo telah menjalankan latihan simulasi operasi berskala penuh pada 16 Julai dan satu lagi dijadualkan pada 18 Julai menggunakan dua pesawat dalam keadaan yang menyerupai operasi komersial sebenar.

“Latihan berkenaan melibatkan penumpang dan kru kabin lengkap, dengan peserta turut diminta memberikan maklum balas menerusi kod QR bagi membantu menambah baik perkhidmatan serta memastikan tahap kesiapsiagaan sebelum operasi penerbangan bermula,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa Pengerusi Lembaga Pengarah AirBorneo yang juga Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki turut merasmikan Pejabat Tiket AirBorneo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.

“Pembukaan pejabat tiket itu menjadi satu lagi pencapaian penting ketika AirBorneo memasuki fasa akhir persiapan menjelang operasi komersial.

“Selain memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan syarikat penerbangan berkenaan,” ujarnya.

Menurutnya, AirBorneo diwujudkan dengan visi menyediakan perkhidmatan udara berkualiti dan boleh dipercayai, di samping melengkapi perkhidmatan penerbangan sedia ada, meningkatkan keterhubungan serta menyokong pertumbuhan sektor pelancongan serta perniagaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU