HARI RAYA AIDILFITRI kali ini bukan hanya sekadar sambutan yang cukup penting buat penyanyi cantik manis, Aisha Retno, tetapi juga menjadi titik berharga dalam kerjayanya dengan kemunculan lagu ‘Raya Nak Ke Mana?’ yang ditulis khas untuk biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Kongsi Aisha, Ramadan tahun ini, dia sangat aktif dengan aktiviti muziknya selain mendapat tawaran untuk menjadi duta bagi salah sebuah jenama terkemuka di Malaysia.
“Perkembangan Aisha sepanjang Ramadan lalu termasuklah peluang yang diberikan kepadanya untuk menjadi duta bagi minuman jenama Yeo’s sepanjang Ramadan dan hari raya ini, untuk kempen ‘Raya Terpaling Vibes’ anjuran Yeo’s.
“Selain itu, seperti yang semua tahu, tahun ini Aisha ada buat lagu raya khas buat Tokti (Datuk Seri Siti Nurhaliza) yang ditulis bersama-sama dengan adik saya Radi, Amylea Azizan dan Jason,” jelasnya kepada Suara Sarawak.
Selain mencipta lagu raya untuk Tokti, Aisha juga muncul dengan lagu raya miliknya sendiri, bersama penyanyi tampan Aziz Harun, iaitu lagu ‘Ketipak Ketipung 2.0’ yang menampilkan sentuhan lebih unik berbanding versi sebelumnya.
Pun begitu, walaupun masih sibuk dengan aktiviti seni yang tidak putus sepanjang Ramadan ini, Aishah tetap berkesempatan untuk menyediakan baju raya.
“Alhamdulilah, Aisha bersyukur tahun ini sebab saya terima banyak sangat baju raya daripada pihak penaja sebagai persediaan saya untuk raya.
“Jadi, saya mungkin akan tambah sepasang dua kali baju raya jika ada yang menarik hati,” ujarnya.
Tidak terhenti di situ sahaja, Aisha juga berkongsi menu kegemarannya ketika hari raya, yang sudah menjadi kewajipan setiap kali Syawal menjelma.
Semestinya, setiap kali hari raya, Aisha memang tertunggu-tunggu masakan ibunya kerana masakan ibu paling sedap di seluruh dunia.
“Menu seperti ketupat, lontong, opor ayam, sambal goreng hati dan sayur ketupat yang dibuat dari betik muda memang wajib saya cari, sebab hanya waktu ini sahaja saya dapat menikmatinya sepuas hati,” kongsinya.



