KOTA SAMARAHAN: Rangup di luar dan sejuk berkrim di dalam — aiskrim goreng menawarkan gabungan tekstur yang ringkas tetapi menarik. Lapisan roti yang digoreng keemasan membaluti aiskrim yang masih beku, menghasilkan keseimbangan rasa panas dan dingin dalam satu gigitan.
Hidangan ini bukan sekadar pencuci mulut biasa, sebaliknya memberi pengalaman berbeza kepada pelanggan yang ingin mencuba sesuatu di luar kebiasaan.


Di sebalik lapisan keemasan tersebut, terselit sebuah idea kecil yang lahir daripada inspirasi besar membuktikan bahawa pengaruh media sosial mampu diterjemahkan menjadi peluang perniagaan oleh anak muda.
Bermula daripada menonton kandungan TikTok Khairul Aming dan sekadar mencuba di rumah, usaha Mohd Norhafizhan Sawal, 32, kini membuahkan hasil apabila berjaya mengetengahkan jualan aiskrim goreng.
Menurutnya, perniagaan tersebut pada awalnya dilakukan secara suka-suka sebelum melihat permintaan yang semakin meningkat, sekali gus mendorong dia dan isteri menjadikannya sebagai sumber pendapatan sampingan.
“Pada mulanya, memang suka-suka dan sekadar mencuba. Tetapi melihat tidak ramai yang berniaga aiskrim goreng terutama di Kota Samarahan saya dan isteri, Zetty Aqmarina Mohamad Daud cuba menjualnya dengan mengambil tempahan dari rumah atau secara dalam talian sahaja.
“Alhamdulillah, kami tidak menyangka perniagaan yang bermula dari rumah ini dapat dikembangkan sehingga kami mampu membuka gerai di hadapan Unplugged Cafe, Desa Ilmu, di sini,” katanya kepada Suara Sarawak.
Lebih mengejutkan, Norhafizhan memberitahu sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan membolehkan mereka menjual sekitar 50 hingga 60 biji aiskrim goreng sehari pada harga RM5 sebiji.
Katanya, mereka beroperasi dari 5 petang hingga 11 malam setiap Isnin hingga Rabu, namun waktu operasi bergantung kepada stok — jika habis lebih awal, gerai akan ditutup lebih awal.
“Aiskrim goreng ini bukan seperti makanan lain, jadi waktu operasi kami disesuaikan dengan permintaan pelanggan.
“Apabila kami mula menjual secara fizikal, pelbagai reaksi diterima daripada pelanggan, termasuk yang teruja mencuba sesuatu yang baharu. Ada juga yang menyatakan mereka pertama kali mencuba aiskrim goreng,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Norhafizhan memaklumkan, meskipun terdapat peniaga lain yang menjual aiskrim goreng, tetapi mereka mengekalkan keunikan tersendiri dari segi bahan.
“Kami memilih roti jenama Gardenia kerana teksturnya lebih lembut dan apabila digoreng, ia menjadi rangup di luar tanpa menjadi keras.
“Setakat ini kami menawarkan enam perisa aiskrim, tetapi yang paling mendapat sambutan ialah ‘double chocolate’ kerana menawarkan rasa lebih premium dan berbeza,” jelasnya.
Berkongsi cabaran, Norhafizhan menyatakan aspek utama bukanlah sambutan pelanggan, sebaliknya mengekalkan suhu aiskrim agar sentiasa dalam keadaan baik sebelum digoreng.
Ketika ini, Ais Krim Goreng Desa turut menawarkan produk sejuk beku selain menyediakan perkhidmatan penghantaran serta tempahan untuk pelbagai majlis termasuk perkahwinan, pertunangan, doa selamat dan banyak lagi.
Orang ramai yang ingin mencuba Ais Krim Goreng Desa boleh datang ke gerai di hadapan Unplugged Cafe, Desa Ilmu, di sini atau boleh membuat tempahan melalui WhatsApp di talian 014-575 8184 serta TikTok @AiskrimGorengDesa.

