Ajak belia beramal dan bersedekah

DEBAK: Kelab Sukan dan Rekreasi Laser Light (KSRLL) Debak komited dalam membentuk serta melahirkan belia yang positif, cenderung ke arah program amal dan bersedekah.

Pengerusinya Saiful Hanizam Suhaini memberitahu, melalui Kembara Iftar KSRLL Debak yang diadakan sejak empat tahun lalu pihaknya sebagai pertubuhan belia berjaya menarik ramai anak muda untuk terlibat sama.

“Siri kembara yang memasuki tahun keempat penganjuran pada setiap Ramadan disifatkan cukup berjaya.

“Kita berjaya meneruskan penganjurannya berkat komitmen ahli kelab khususnya serta pihak lain seperti Kelab Belia Pekan Debak, JKKK serta jawatankuasa pengurusan masjid dan surau untuk bersama berkongsi dengan mereka yang memerlukan.

“Sekaligus membuktikan bahawa belia juga positif ke arah program amal dan bersedekah. Saya yakin anak-anak muda yang terlibat mendapat manfaat yang cukup berguna,” katanya.

UNTUK ALBUM … Saiful serta pihak yang terlibat bergambar kenangan bersama asnaf yang menerima sumbangan pada Kembara Iftar KSRLL Debak di Surau Raudatul Jannah Kampung Babu, semalam.

Beliau bercakap demikian ketika ditanya seusai Kembara Iftar KSRLL Debak di Surau Raudatul Jannah Kampung Babu yang merupakan lokasi ketiga dekat sini, semalam.

Jelasnya, ini merupakan peluang terbaik membantu mereka yang memerlukan khususnya asnaf yang terdiri daripada warga emas, orang kelainan upaya dan sebagainya seperti yang digalakkan dalam bulan mulia ini.

Beliau dalam pada itu optimis, program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang.

“Insha-Allah kita sedaya upaya untuk meneruskan program amal ini pada masa hadapan kerana ia berjaya memberi manfaat kepada banyak pihak.

“Tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak sepanjang program berjalan khususnya ahli-ahli kelab.

BANTU … Saiful menyampaikan sumbangan berupa beras kepada salah seorang asnaf di Kampung Babu.

“Sedar tidak atau tidak, program yang diisi dengan berbuka puasa beramai-ramai turut menjadi platform merapatkan silaturahim antara pihak yang terlibat disamping medium perkongsian idea dalam membangunkan kampung,” ujarnya.

Saiful dalam pada itu berazam untuk berusaha menarik lebih banyak NGO terlibat sama supaya program ini dapat diadakan dalam skala yang lebih besar seterusnya lebih meriah.

Pada tahun ini, terdapat empat siri program yang telah diadakan bermula di Masjid Darul Solihin Kampung Bungey, Surau Darul Iman Kampung Lalang, Surau Raudatul Jannah Kampung Babu dan kemuncaknya di Masjid Darul Iman Kampung Debak Laut.

Sepanjang program, lebih 40 asnaf terpilih untuk menerima sumbangan yang mana golongan tersebut diajak berbuka puasa bersama.

MERIAH … Suasana berbuka puasa bersempena Kembara Iftar KSRLL Debak di Surau Darul Iman Kampung Lalang.

 

LOKASI KEDUA … Rombongan Kembara Iftar KSRLL Debak singgah di Surau Darul Iman Kampung Lalang untuk menyampaikan sumbangan Ramadan kepada mereka yang terpilih.

 

SYUKUR SELALU … Salah seorang warga emas di Kampung Lalang menerima sumbangan yang disampaikan Saiful.