KUCHING: Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team memperkenalkan Akademi Perlumbaan JDT sebagai langkah memperkukuh pembangunan bakat muda dalam sukan permotoran, dengan dua pelumba dari Johor bakal membuat penampilan sulung pada Kejuaraan PETRONAS MAM Cub Prix Malaysia 2026 bulan ini.
Kedua-dua pelumba itu akan mewakili akademi berkenaan dalam kategori WIRA pada pusingan kelapan kejohanan yang dijadual berlangsung di Medini Iskandar, Johor, pada 21 hingga 22 November ini.

Menerusi kenyataan, JDT Racing Team memaklumkan penubuhan akademi itu bertujuan menyediakan laluan pembangunan lebih tersusun kepada pelumba muda tempatan untuk mengembangkan bakat dalam sukan permotoran.
Menurut pasukan berkenaan, penyertaan tersebut memberi peluang kepada pelumba muda menimba pengalaman dalam perlumbaan sebenar, selain menguji kemampuan mereka dalam persaingan lebih kompetitif.

JDT Racing Team turut mengajak peminat sukan permotoran hadir memberikan sokongan kepada kedua-dua pelumba berkenaan sepanjang kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu.
Penubuhan akademi tersebut memperluas peranan JDT Racing Team dalam arena permotoran negara, bukan sahaja menerusi penyertaan dalam kejohanan utama, malah usaha melahirkan generasi pelumba baharu dari peringkat akar umbi.

Sebelum ini, JDT Racing Team mencatat kejayaan apabila merangkul dua gelaran utama dalam kategori Asia Superbike 1000 (ASB1000) pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026, termasuk kejuaraan keseluruhan pelumba menerusi Hafizh Syahrin Abdullah.
Pencapaian itu menjadi antara kejayaan penting pasukan berkenaan di pentas perlumbaan serantau, sebelum memperkenalkan inisiatif pembangunan bakat muda menerusi akademi berkenaan.





