KUCHING: Sebanyak 679 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh Sarawak sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), selain penyediaan pangkalan hadapan bagi memastikan bantuan makanan dapat disalurkan kepada penduduk terputus hubungan akibat bencana.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pangkalan hadapan berfungsi sebagai tempat penyimpanan bekalan makanan kering untuk diagihkan kepada penduduk rumah panjang dan kampung yang terputus hubungan, tetapi kediaman mereka tidak terjejas sehingga memerlukan pemindahan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara OCI Terrasus Sdn Bhd dan SeDidik Sdn Bhd di Ruang Legar Pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Penentuan lokasi PPS mengambil kira kesesuaian kawasan serta keperluan penduduk bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera sekiranya berlaku banjir atau tanah runtuh.
Bagaimanapun, katanya, penubuhan dan penentuan PPS perlu mendapat persetujuan Jawatankuasa Pengurusan Bencana kerana keputusan itu dibuat secara bersama dan bukan hanya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Persiapan turut merangkumi penyediaan sumber manusia yang akan bertugas di PPS dan pejabat operasi bagi memastikan komunikasi dengan bilik gerakan serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah berjalan lancar.
Aspek logistik termasuk penyediaan bot dan kenderaan bagi urusan pengangkutan serta pengagihan bekalan kepada penduduk terjejas turut diberi perhatian.
Beliau berkata, persiapan menghadapi MTL dilaksanakan menerusi kerjasama pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Operasi bantuan ketika bencana memerlukan kerjasama bersepadu antara agensi termasuk JKM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Fatimah berkata, keutamaan kerajaan negeri adalah memastikan setiap mangsa bencana menerima bantuan sewajarnya dengan segera.





