KUCHING: Lebih 1,000 karya berjaya dihasilkan menerusi Program Penulis Muda SeDidik sepanjang tiga tahun pelaksanaannya, membuktikan kanak-kanak mempunyai potensi besar dalam bidang penulisan yang perlu terus dicungkil dan dikembangkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, program yang dilaksanakan dengan kerjasama Singapore Library Board itu turut menghasilkan manuskrip yang belum diterbitkan dalam bentuk buku.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan kanak-kanak mampu menghasilkan karya sendiri sekiranya diberikan peluang, bimbingan dan galakan bersesuaian.
“Kita tidak boleh memandang rendah bakat serta kemampuan kanak-kanak kerana mereka juga berupaya menghasilkan karya sendiri.
“Pembangunan bakat perlu bermula dengan mengenal pasti potensi mereka dan seterusnya mengembangkannya ke tahap maksimum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan pelancaran awal buku cerita kanak-kanak dan guru SeDidik yang dihasilkan menerusi Program Penulis Muda di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Fatimah berkata, Program Penulis Muda merupakan antara inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan SeDidik (SeDidik Centre of Excellence) yang turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dalam bidang pengucapan awam, muzik, gimnastik kanak-kanak dan taekwondo.
Katanya, antara cabaran utama adalah memastikan pembangunan bakat kanak-kanak dapat diteruskan apabila mereka melangkah ke sekolah rendah dan menengah.
Justeru, pendekatan menerusi Pusat Kecemerlangan yang beroperasi secara berasingan daripada taska dan tadika diharap dapat memastikan bakat yang dikenal pasti terus dipupuk walaupun kanak-kanak telah memasuki alam persekolahan.





