KUCHING: Anak-anak pekerja OCI Terrasus Sdn Bhd di Bintulu bakal menikmati kemudahan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak menerusi kerjasama syarikat itu bersama SeDidik Sarawak.
Kerjasama menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) itu membabitkan penubuhan taska sebelum diperluaskan kepada tadika di premis sama bagi memenuhi keperluan keluarga pekerja industri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif itu selaras dengan pendekatan kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan keluarga pekerja turut diberi perhatian, khususnya dari aspek penjagaan dan pendidikan anak-anak.
Menurutnya, kemudahan berkenaan bukan sahaja memberi ketenangan kepada ibu bapa ketika bekerja, malah membantu meningkatkan produktiviti pekerja.
“Kita mahu memastikan pekerja mempunyai tempat yang selamat untuk menghantar anak-anak mereka, selain mendapat pendidikan berkualiti supaya mereka dapat memberikan tumpuan kepada pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pertukaran MoU antara Pengarah Prinsipal Bahagian Kelestarian dan Sumber Manusia OCI Terrasus Sdn Bhd, Dr Kim Soo Yeon dan Pengurus SeDidik Sdn Bhd, Ayub Dahari, di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Sementara itu, Dr Kim berkata, kerjasama berkenaan membuka peluang kepada OCI Terrasus menyumbang kepada pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak menerusi perkongsian kepakaran kedua-dua pihak.
Katanya, kemudahan itu diharap dapat membantu pekerja syarikat berkenaan di Bintulu menguruskan keperluan penjagaan anak ketika bekerja.
Menurut Ayub, SeDidik menyasarkan taska berkenaan mula beroperasi pada Januari 2026, tertakluk kepada kelulusan dokumentasi dan agensi teknikal berkaitan.
Katanya, waktu operasi yang dicadangkan ialah dari 6 pagi hingga 7 malam, mengambil kira lokasi kilang OCI Terrasus di Samalaju yang terletak lebih sejam perjalanan dari bandar Bintulu.
“Sebahagian besar pekerja menetap di bandar Bintulu dan memerlukan waktu operasi yang bersesuaian dengan jadual kerja mereka.
“Kami juga telah membuat persediaan dari segi sumber manusia, termasuk tenaga pengajar, bagi memenuhi keperluan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama itu turut membuka peluang kepada SeDidik mendapatkan kepakaran dan bahan pengajaran dari Korea, selain menyediakan latihan kepada guru bagi memperkukuh pelaksanaan pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak.
Katanya, potensi kerjasama berkenaan juga boleh diperluaskan ke kawasan lain termasuk Kuching dan Miri pada masa akan datang.

Pergaduhan di Pasar Kenyalang Park, Dua Sahabat Masing-Masing Didenda RM800
KUCHING: Gara-gara bergaduh kerana seorang wanita, dua sahabat masing-masing dijatuhkan hukuman RM800 atau penjara seminggu oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan bergaduh di tempat




