ARTIKEL

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kanan) menerima kunjungan hormat daripada delegasi Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) yang diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Roslan Hussin di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching, hari ini. (Foto MOHD ALIF NONI)

AKM, Kerajaan Sarawak perkuatkan kerjasama strategik program pembinaan negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan Kerajaan Sarawak terus memperkukuh kerjasama strategik bagi memperluas program pembinaan negara di negeri ini, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, semangat patriotisme serta kesedaran sivik selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak.

Komitmen itu ditegaskan semula semasa kunjungan hormat yang diketuai Ketua Pengarah AKM, Datuk Dr Roslan Hussin kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.

Pertemuan tersebut memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menilai pelaksanaan program pembinaan negara AKM di Sarawak, di samping bertukar pandangan mengenai inisiatif baharu yang dapat memberi manfaat kepada rakyat serta memperkukuh pembangunan modal insan.

Perbincangan turut tertumpu kepada usaha memperluas kerjasama dalam menganjurkan program bagi memupuk semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan nasional, meningkatkan kesedaran sivik serta menyemai rasa cinta akan negara, khususnya dalam kalangan generasi muda sebagai pemimpin masa depan.

Menurut kenyataan AKM, hala tuju program pembinaan negara di Sarawak akan terus diselaraskan dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), sekali gus menyokong aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri maju dan berberpendapatan tinggi menjelang 2030 di bawah kepimpinan Premier.

AKM turut merakamkan penghargaan atas sokongan dan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kejayaan pelbagai inisiatif pembinaan negara di negeri ini.

Kerjasama erat tersebut akan terus memperkukuh usaha membina identiti nasional yang kukuh, memupuk perpaduan serta menghayati nilai-nilai kenegaraan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Selain itu, kunjungan itu mencerminkan komitmen AKM untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Sarawak bagi memastikan program pembinaan negara dilaksanakan dengan lebih berkesan, inklusif dan berimpak tinggi.

AKM turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam merancang serta melaksanakan program yang memberi impak positif kepada masyarakat, di samping melahirkan warganegara yang berilmu, beretika, bersatu padu dan memiliki semangat patriotisme yang tinggi, selaras dengan agenda Malaysia MADANI serta visi Sarawak sebagai sebuah negeri yang progresif dan makmur.

TAMAT

BERITA LAIN

LCDA diminta bawa model Gedong, Lawas ke Spaoh

SPAOH: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) diminta membawa model pembangunan terbaik yang dilaksanakan di Gedong dan Lawas untuk diperluas ke Bahagian Betong, khususnya Spaoh.

BERITA TERBARU

LCDA diminta bawa model Gedong, Lawas ke Spaoh

SPAOH: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) diminta membawa model pembangunan terbaik yang dilaksanakan di Gedong dan Lawas untuk diperluas ke Bahagian Betong, khususnya Spaoh.