BINTULU: Kawalan keselamatan di Pelabuhan Bintulu terus diperkukuh bagi mengekang kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan, selaras peranan strategiknya sebagai pintu masuk perdagangan antarabangsa.
Usaha itu diberi perhatian dalam lawatan kerja Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain, ke pelabuhan berkenaan semalam bagi meninjau operasi harian serta bertemu pegawai dan anggota bertugas.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi AKPS, lawatan itu turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan pemeriksaan berasaskan profil risiko serta penyelarasan antara agensi bagi meningkatkan keberkesanan kawalan sempadan.
Selain itu, kesiapsiagaan petugas dan keupayaan operasi di lapangan menjadi aspek penting bagi memastikan sebarang ancaman keselamatan dapat ditangani secara terancang dan menyeluruh.
AKPS komited untuk terus memperkukuh kawalan di pintu masuk negara bagi melindungi hasil serta memelihara keselamatan dan kedaulatan Malaysia.




