KUCHING: Kesihatan, status kebankrapan, rekod jenayah serta latar belakang bakal menjadi antara aspek yang diteliti sebelum seseorang dipilih sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, proses saringan penting bagi memastikan calon yang diketengahkan memenuhi syarat kelayakan serta mampu menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sepanjang tempoh lima tahun.
“Mana-mana parti termasuk GPS akan membuat saringan sebelum seseorang disenaraikan sebagai calon, semua faktor akan diambil kira.
“GPS turut mempunyai pasukan perundangan bagi melakukan semakan berkaitan kelayakan bakal calon, termasuk memastikan tiada isu yang boleh menjejaskan pencalonan pada hari penamaan calon,” katanya pada sidang media khas berkenaan PRU Sarawak Ke-13 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, tahap kesihatan turut diberikan perhatian kerana seseorang calon perlu mempunyai kemampuan fizikal untuk melaksanakan tugas di kawasan sekiranya dipilih.
“Calon sendiri perlu memahami tanggungjawab seorang wakil rakyat. Kalau menang, dia perlu menjaga kawasan itu untuk lima tahun,” katanya.
Selain faktor kelayakan, Abdul Karim berkata pemilihan calon turut mengambil kira latar belakang, pendidikan, hubungan dengan masyarakat serta penerimaan akar umbi.
Ujarnya, PBB yang memenangi kesemua 47 kerusi pada PRU Sarawak yang lalu kini sudah mempunyai gambaran sebahagian besar calon di kawasan yang akan ditandinginya, namun beberapa kerusi dijangka menampilkan muka baharu.
Keputusan muktamad calon GPS diserahkan kepada Premier merangkap Pengerusi GPS dan Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selepas semua parti komponen bersetuju memberikan mandat penuh kepadanya.
Tambahnya, jika terdapat penyandang veteran yang tidak dinamakan semula, ia tidak semestinya berpunca daripada prestasi mereka, sebaliknya boleh menjadi sebahagian daripada proses menyediakan generasi kepimpinan baharu.
Menurutnya, proses membentuk pemimpin berpengalaman mengambil masa panjang, justeru peremajaan kepimpinan perlu dilakukan secara berperingkat bagi memastikan kesinambungan pentadbiran.




