ARTIKEL

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan empat suspek yang terlibat dalam kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Tabuan Tranquility, Jalan Canna, Kuching, pada 31 Oktober lalu.

Empat Penyamun Bersenjata Ceroboh Rumah, Ikat Penghuni di Tabuan Tranquility

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Empat penyamun bersenjata tajam bertindak menceroboh sebuah rumah di Tabuan Tranquility, Jalan Canna, sebelum mengikat penghuninya dan melarikan pelbagai barangan berharga dalam kejadian awal pagi 31 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian samun berkumpulan itu kira-kira 4.38 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati empat lelaki bersenjatakan pisau pemotong dan besi dipercayai memasuki kawasan rumah mangsa dengan memanjat tembok belakang sebelum mengumpil pintu gelangsar sebuah bilik tidur di tingkat bawah.

“Suspek kemudian mengambil dua bilah pisau dari dapur sebelum mengugut dan mengikat mangsa bersama-sama ahli keluarganya.

“Mereka seterusnya melarikan wang tunai, beberapa utas jam tangan, rantai emas serta botol minuman keras,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Alexson berkata, mangsa dan ahli keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana menggunakan senjata tajam ketika melakukan samun,” katanya.

Alexson menegaskan bahawa siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan kes berkenaan diberi keutamaan bagi memastikan suspek dapat dikesan serta dibawa ke muka pengadilan.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ang Mei Cindi di talian 010-7039818 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU