KOTA SAMARAHAN: Ketua jurulatih Samarahan, Ideris Untong mengakui, tarikh final bagi Piala Premier Sarawak 2026 yang masih belum diketahui sehingga kini memberi sedikit kelegaan buat pasukannya.
Ia merupakan kredit masa yang amat signifikan terutama bagi pemain untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan dialami sebelum ini.
“Kita masih lagi menunggu tarikh final untuk piala berprestij itu.
“Tempoh masa yang ada selain turut dipergunakan memperkemas jentera di segenap posisi. Pada masa sama memberi peluang kepada pemain untuk pulih sepenuhnya dari kecederaan dialami sebelum ini,” ujar Ideris kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau akui, beberapa pemain ditimpa kecederaan ringan selepas aksi separuh akhir kedua menentang Bintulu di gelanggang lawan pada 31 Oktober lalu.
Justeru, beliau berharap pemainnya yang ditimpa musibah kecederaan dapat kembali cergas sepenuhnya.
Jurulatih kelahiran Kampung Sebandi Matang, Asajaya kini fokus meningkatkan tahap kecergasan para pemainnya sebagai menghadapi aksi final terbabit.
Katanya, penting untuk beliau menekankan tahap kecergasan maksima kepada pemain kerana percaya aksi final itu kelak agak berbeza berbanding perlawanan lain sebelumnya.






