KUCHING: Hubungan erat yang sekian lama terjalin dengan masyarakat setempat menjadi asas kekuatan Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam memahami keperluan rakyat serta menyesuaikan strategi kempen mengikut keadaan setiap kawasan menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13.
Ketua Pergerakan Wanita PBB, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, hubungan berterusan dengan masyarakat membolehkan jentera parti mengenal pasti keperluan penduduk, sekali gus merancang gerak kerja yang lebih tersusun, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menurutnya, kekuatan jaringan akar umbi serta pengalaman mendekati masyarakat menjadi sandaran utama dalam menghadapi cabaran geografi Sarawak yang luas, termasuk penempatan berselerak, kekangan pengangkutan dan keadaan cuaca.
“Kekuatan kami terletak pada kehadiran berterusan dalam komuniti, bukan hanya ketika pilihan raya, selain hubungan langsung yang telah lama terjalin dengan masyarakat.
“Kami juga perlu memanfaatkan komunikasi melalui telefon dan platform digital apabila bersesuaian, namun pendekatan bersemuka tetap penting, terutama di kawasan yang mempunyai capaian telekomunikasi terhad,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Fatimah yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat berkata, usaha mendekati pengundi di kawasan pedalaman memerlukan perancangan rapi berikutan jarak perjalanan yang jauh serta kebergantungan kepada pengangkutan sungai di sesetengah kawasan.
Justeru, beliau menegaskan bahawa setiap lawatan perlu diselaraskan dengan pemimpin cawangan bagi memastikan semua komuniti mendapat perhatian dan tidak tercicir daripada gerak kerja kempen.
“Di kawasan luar bandar Sarawak, usaha mendekati setiap isi rumah memerlukan perancangan strategik dan teliti, khususnya apabila perjalanan melibatkan jarak jauh atau pengangkutan sungai.
“Pada masa sama, jentera parti perlu sentiasa bermotivasi, bergerak secara terselaras dan mengekalkan tumpuan sepanjang tempoh berkempen,” katanya.
Mengulas persiapan pilihan raya, beliau berkata, pengesahan tarikh penamaan calon pada 28 November dan hari pengundian pada 12 Disember membolehkan jentera Wanita PBB di setiap kawasan memperkemas strategi serta menyusun aktiviti mengikut tempoh yang ditetapkan.
Menurutnya, kerjasama dengan sayap Pemuda, Belia dan Bapak akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap peringkat jentera memainkan peranan masing-masing sebagai satu pasukan PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Dalam pada itu, Fatimah berkata, pertambahan pengundi baharu susulan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik menjadi antara cabaran yang memerlukan perhatian dalam penyusunan strategi kempen.
Beliau menjelaskan tanggungjawab jentera bukan sekadar mengenal pasti pengundi, malah merangkumi usaha memahami isu yang dihadapi masyarakat, menyampaikan mesej parti dan mendapatkan sokongan ke atas GPS.
Sehubungan itu, Fatimah menekankan kepentingan memastikan penyokong keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian kerana kekuatan sokongan politik turut bergantung kepada jumlah pengundi yang hadir membuang undi.
Sementara itu, beliau berkata, persiapan menjelang hari pengundian turut merangkumi semakan maklumat pemilih, penyediaan saluran komunikasi yang jelas serta perancangan bantuan kepada penyokong.
Fatimah turut mengingatkan semua jentera supaya sentiasa berdisiplin, tidak leka dengan kedudukan sedia ada dan memastikan setiap aktiviti kempen mematuhi peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).






