KUCHING: Tempoh berkempen selama 14 hari bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 dilihat mencukupi untuk membolehkan pengundi menilai prestasi calon serta kerajaan sepanjang penggal lalu, tanpa mencetuskan suasana politik yang tidak terkawal.
Penganalisis politik yang juga Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Mohd Hisyamuddin Basabah berkata, tempoh berkenaan sepatutnya dimanfaatkan calon untuk mendapatkan maklum balas rakyat dengan khidmat dan pencapaian masing-masing, bukannya sekadar berkempen meraih sokongan.
“Pemilihan tarikh PRU Sarawak ini dilihat relevan dan tidak memberikan kelebihan khusus kepada mana-mana gabungan politik, termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai kerajaan penyandang.
“Penetapan tarikh penting ini mengambil kira kesesuaian untuk membolehkan rakyat keluar mengundi selain memudahkan petugas pilihan raya menyelaras proses pengundian serta pengiraan kertas undi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman tarikh penting PRU Sarawak Ke-13 oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun hari ini, yang menetapkan 12 Disember ini sebagai hari pengundian, manakala penamaan calon ditetapkan pada 28 November dan pengundian awal pada 8 Disember.
Bagaimanapun, Mohd Hisyamuddin berkata, walaupun tarikh pilihan raya ditentukan SPR, keputusan kerajaan negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pula lazimnya mengambil kira momentum sokongan rakyat serta keyakinan prestasi pentadbiran negeri.
Mengulas persediaan parti politik, beliau berpandangan semua parti perlu membina dan menyusun jentera pilihan raya lebih awal, bukannya hanya menggerakkan kekuatan masing-masing apabila musim pilihan raya tiba.
Katanya, parti politik yang benar-benar berwibawa seharusnya berorientasikan perkhidmatan dan penyampaian kepada rakyat, manakala tanggungjawab berkhidmat tidak sepatutnya terhenti selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
Mengulas peluang GPS mempertahankan dominasi, beliau menegaskan majoriti besar yang diperoleh gabungan itu pada penggal lalu bukan jaminan untuk mengulangi pencapaian sama atau memperoleh kemenangan lebih besar.
Sebaliknya, katanya, prestasi dan rekod perkhidmatan setiap calon serta parti akan menjadi ukuran utama pengundi dalam menentukan mandat baharu.
Beliau turut menyifatkan prestasi keseluruhan kerajaan negeri sebagai faktor penting yang mempengaruhi penerimaan rakyat, termasuk kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, pencapaian kerajaan negeri bukan bergantung kepada seorang pemimpin semata-mata, sebaliknya hasil iltizam dan kerjasama seluruh jentera parti serta pentadbiran negeri, selain visi yang dibawa Premier sebagai asas hala tuju pembangunan Sarawak.
Sehubungan itu, beliau berharap pengundi menggunakan pertimbangan rasional dan tidak terlalu dipengaruhi sentimen atau nostalgia kepartian ketika memilih wakil rakyat.






