ALOR SETAR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyita hampir 25,000 kilogram (kg) produk ayam sejuk beku yang dibawa masuk tanpa permit import sah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam semalam.
Menurut Bernama, Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Fauzi Mohd Yusof, menyatakan pemeriksaan fizikal di bilik sejuk beku kompleks itu menemukan ayam kategori ‘chicken thigh & leg boneless frozen’ dari Thailand.
Pemeriksaan lanjut mendapati pengimport mengemukakan dokumen Permit Import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang sudah tamat tempoh.
Susulan itu, dagangan seberat 24,990kg bernilai RM562,290 disita kerana melanggar Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), menurut kenyataan beliau semalam.
Kes tersebut kini diserahkan kepada MAQIS untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.






