APABILA inflasi turun, adakah kehidupan rakyat benar-benar semakin baik?
Persoalan ini wajar direnungkan kerana angka ekonomi yang kelihatan cantik di atas kertas tidak semestinya mencerminkan realiti di meja makan.
Setiap bulan, rakyat berdepan satu perkara yang tidak pernah gagal mengingatkan mereka tentang keadaan ekonomi negara.
Bukan laporan kewangan, bukan graf pertumbuhan ekonomi dan bukan juga angka inflasi yang diumumkan kerajaan.
Sebaliknya, resit ketika membeli barang dapur.
Cuba perhatikan harga beras, ayam, ikan, sayur-sayuran, minyak masak dan barangan keperluan lain.
Ada yang mungkin tidak banyak berubah, tetapi sebahagiannya sudah cukup untuk membuatkan pengguna berfikir dua kali sebelum memasukkannya ke dalam troli.
Di sinilah timbul persoalan besar. Jika inflasi negara semakin terkawal, mengapa masih ramai rakyat merasakan wang semakin tidak mencukupi?
Hakikatnya, inflasi rendah tidak bermaksud harga barang kembali murah. Ia sekadar menunjukkan kadar kenaikan harga semakin perlahan.
Barang yang dahulunya berharga RM10 dan meningkat kepada RM12 tidak akan kembali menjadi RM10 hanya kerana kadar inflasi menurun.
Inilah perbezaan yang sering terlepas daripada perbincangan awam. Angka inflasi mungkin menunjukkan perkembangan positif, tetapi pengalaman rakyat ketika berbelanja boleh menceritakan kisah yang berbeza.
Bank Negara Malaysia (BNM), menerusi artikel Di Sebalik Angka Rasmi: Inflasi dari Perspektif Isi Rumah dalam Laporan Tahunan 2025, menjelaskan bahawa Indeks Harga Pengguna (IHP) mengukur perubahan purata harga sekumpulan barangan dan perkhidmatan.
Ia bukan ukuran langsung kemampuan setiap keluarga untuk meneruskan kehidupan.
Malaysia mencatatkan purata inflasi 1.4 peratus pada 2025, terendah dalam tempoh lima tahun.
Dalam sembilan bulan pertama 2026, kadar itu meningkat kepada purata 1.8 peratus, manakala inflasi teras berada pada paras dua peratus.
Angka ini mungkin memberikan gambaran bahawa keadaan semakin terkawal.
Namun, bagi seorang ibu yang menguruskan perbelanjaan keluarga, persoalannya jauh lebih mudah: cukupkah duit untuk membeli barang dapur sehingga hujung bulan?
Rakyat tidak membeli barangan berdasarkan inflasi.
Mereka membeli berdasarkan keperluan, kemampuan dan baki wang dalam dompet.
Malah, BNM turut menjelaskan bahawa persepsi inflasi dipengaruhi oleh kekerapan pembelian dan ingatan terhadap kenaikan harga.
Barangan yang dibeli setiap hari seperti makanan dan minuman lebih mudah mempengaruhi tanggapan pengguna berbanding barangan yang jarang dibeli.
Sebab itulah kenaikan harga sekilo ayam atau sekampit beras mungkin lebih dirasai berbanding penurunan harga barangan lain yang tidak menjadi keperluan harian.
ANGKA TIDAK MEMBELI BARANG DAPUR
Persoalan sebenar bukan semata-mata berapa rendah kadar inflasi, tetapi berapa banyak barang yang mampu dibeli dengan pendapatan yang diterima. Analisis BNM menunjukkan antara 2019 hingga 2024, IHP keseluruhan meningkat 9.3 peratus, sedangkan upah nominal bagi setiap pekerja hanya meningkat 7.2 peratus.
Perbezaan itu memberi gambaran jelas bahawa pertumbuhan pendapatan belum cukup pantas untuk mengimbangi peningkatan harga.
Dalam bahasa mudah, gaji mungkin bertambah, tetapi kemampuan membeli barang tidak semestinya meningkat.
Malah, ada pekerja yang menerima kenaikan gaji tetapi masih merasakan kehidupan semakin sempit kerana sebahagian besar pendapatan habis untuk makanan, pengangkutan, sewa rumah, bil utiliti dan komitmen hutang.
Kita juga perlu melihat isu ini daripada sudut produktiviti dan struktur ekonomi.
BNM mendedahkan pekerjaan berkemahiran tinggi hanya merangkumi 26 peratus daripada jawatan baharu yang diwujudkan pada 2025, lebih rendah berbanding purata 30 peratus bagi tempoh 2020 hingga 2024.
Ini menunjukkan cabaran negara bukan sekadar mengawal harga, tetapi memastikan ekonomi mampu menawarkan pekerjaan yang memberikan pendapatan lebih baik.
Pelaburan dalam teknologi, penyelidikan dan pembangunan serta industri bernilai tambah tinggi perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan bergaji tinggi. Jika tidak, pertumbuhan ekonomi mungkin kelihatan memberangsangkan, tetapi manfaatnya belum tentu dirasai secara meluas.
GAJI NAIK, APAKAH BEBAN BERKURANG?
Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027 berbanding RM1,700 sebelum ini merupakan langkah yang boleh membantu lebih empat juta pekerja.
Begitu juga peluasan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada hampir 13 juta rakyat Malaysia, termasuk kumpulan M40, serta peningkatan peruntukan STR dan SARA kepada RM16 bilion pada 2027. Semua ini penting sebagai jaringan perlindungan sosial.
Namun, bantuan kerajaan tidak boleh menjadi satu-satunya sandaran untuk menangani kos sara hidup.
Bantuan boleh meringankan beban untuk sementara waktu, tetapi pendapatan yang stabil dan pekerjaan berkualiti memberikan asas kehidupan yang lebih kukuh.
Kita tidak mahu rakyat terus bergantung kepada bantuan semata-mata untuk menampung keperluan asas. Sebaliknya, mereka perlu diberikan peluang untuk meningkatkan pendapatan, membina simpanan dan menikmati kehidupan yang lebih terjamin.
Kerajaan juga perlu memastikan kenaikan gaji tidak sekadar menjadi angka baharu dalam penyata pendapatan, sedangkan harga barangan dan perkhidmatan terus meningkat sehingga menghakis manfaat kenaikan itu.
Akhirnya, ukuran kejayaan ekonomi bukan sekadar berapa rendah inflasi dapat dikekalkan atau berapa tinggi pertumbuhan negara dicatatkan.
Ukuran yang lebih bermakna ialah sama ada seorang pekerja mampu membawa pulang pendapatan yang mencukupi, seorang ibu tidak perlu terlalu bimbang ketika membeli barang dapur dan sebuah keluarga masih mempunyai wang untuk disimpan selepas semua komitmen diselesaikan.
Jangan sampai ekonomi negara dikatakan semakin baik, tetapi kehidupan rakyat masih terasa semakin berat. Angka boleh menunjukkan inflasi rendah.
Laporan boleh menyatakan ekonomi berkembang.
Namun, suara rakyat di pasar, di kedai runcit dan di kaunter pembayaran juga perlu diberikan perhatian. Kerana pada akhirnya, rakyat tidak hidup dengan angka inflasi.
Mereka hidup dengan wang yang diperoleh, harga yang perlu dibayar dan keperluan yang mesti dipenuhi.
Ekonomi yang benarbenar berjaya bukan ekonomi yang sekadar mampu memperlahankan kenaikan harga, tetapi ekonomi yang membolehkan rakyat membeli tanpa terlalu berkira, menyimpan tanpa terlalu terbeban dan menjalani kehidupan tanpa sentiasa dihantui persoalan sama ada wang masih cukup sehingga hujung bulan.






