KUCHING: Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berharap agar anak Sarawak yang menikmati Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) memanfaatkan peluang itu dengan memperoleh ilmu dan kemahiran bersesuaian dengan keperluan ekonomi negeri bagi membantu merealisasikan hasrat menjadikan Sarawak negeri paling maju di Asia selepas 2030.
Beliau berkata Sarawak sebelum ini berdepan isu penghijrahan tenaga mahir apabila ramai anak tempatan yang melanjutkan pengajian di luar negara memilih untuk tidak kembali berikutan tahap perkembangan ekonomi negeri ketika itu.
Bagaimanapun, katanya, keadaan kini semakin berubah apabila semakin ramai anak Sarawak yang berkelulusan tinggi kembali berkhidmat di negeri ini, termasuk dalam sektor petrokimia.

“Harapan kita supaya masa depan kita cerah dan kalau boleh Sarawak mempunyai kedudukan sebagai sebuah ekonomi yang mampan.
“Di sini, saya rasa latihan yang kita beri kepada anak-anak ini akan dapat melonjakkan Sarawak sebagai negeri yang termaju di Asia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Meet & Greet: Aspirasi Anak Sarawak sempena Konvensyen Kepimpinan dan Pemerkasaan Murid Tingkatan Enam Sarawak Tahun 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, Sarawak mempunyai potensi besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui melalui hidro, hidrogen, solar dan biojisim yang mampu menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Selain itu, katanya perkembangan ekonomi Sarawak dalam pelbagai sektor seperti perkapalan, perbankan, media termasuk pertanian turut membuka ruang kepada lebih banyak peluang pekerjaan untuk tenaga kerja tempatan.
Justeru, katanya perubahan landskap ekonomi itu perlu disokong sistem pendidikan dan latihan yang mampu melahirkan graduan dengan kemahiran relevan bagi memenuhi keperluan industri.
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan pendidikan tinggi percuma yang disediakan Kerajaan Sarawak itu juga bertujuan memutuskan kitaran kemiskinan rakyat menerusi penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran, sekali gus membuka peluang kepada generasi muda membina masa depan lebih baik.
Katanya, walaupun Sarawak sudah mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi berdasarkan pengiktirafan Bank Dunia pada 2022, usaha meningkatkan pendapatan isi rumah masih perlu diteruskan supaya manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai rakyat.
“Untuk memutuskan kitaran kemiskinan, kita mesti mempunyai ilmu pengetahuan.
Sebab itu kita menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak pada hari ini supaya kita dapat memutuskan kitaran kemiskinan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap generasi muda dapat meneruskan usaha pembangunan negeri dengan memanfaatkan peluang pendidikan, selain mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Sarawak.





