DARO: Berita baik buat penduduk di daerah ini apabila projek pembinaan Perpustakaan Awam Daerah Daro (Pusat Digital dan Inovasi) kini mencapai kemajuan 90.6 peratus dan dijangka siap sepenuhnya Januari tahun depan.
Kemajuan itu termasuk kerja pemasangan lif, sekali gus menandakan projek berkenaan semakin hampir disiapkan.
Penyandang DUN Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, kewujudan pustaka baharu itu bakal memperkukuh akses kemudahan digital dan maklumat, seiring dengan perkembangan teknologi masa kini.
“Usaha memastikannya dapat disiapkan dengan baik amat penting supaya manfaatnya dapat dinikmati penduduk kawasan ini,” katanya dalam perkongsian menerusi Facebook rasminya, hari ini.
Beliau turut menegaskan kepentingan penyelarasan dan kerjasama berterusan semua pihak bagi memastikan sebarang isu pelaksanaan projek dapat diselesaikan, menjamin penyiapannya mengikut jadual.
Apabila siap kelak katanya, pustaka itu bakal menyediakan ruang pembelajaran, pembacaan dan rujukan yang lebih selesa serta kondusif, khususnya kepada golongan muda.
“Saya berharap ia dapat menjadi pusat aktiviti ilmu dan pembelajaran, selain memberi ruang lebih luas kepada golongan pelajar untuk mendapatkan bahan rujukan,” katanya.




