KUCHING: Premier Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak memberikan jawapan khusus berhubung spekulasi kemungkinan beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13.
Sebaliknya, ketika diajukan soalan kemungkinan bertanding di kerusi berkenaan, Abang Johari bergurau beliau akan bertanding di kesemua 82 kerusi DUN.
“Saya Pengerusi GPS, saya akan bertanding di semua 82 kerusi (DUN),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Sesi Meet & Greet: Aspirasi Anak Sarawak sempena Konvensyen Kepimpinan dan Pemerkasaan Murid Tingkatan Enam Sarawak Tahun 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Jawapan itu bagaimanapun tidak memperincikan kedudukan beliau sendiri, termasuk kemungkinan beralih ke DUN Demak Laut, sekali gus membiarkan spekulasi kerusi yang bakal ditandinginya pada PRU Sarawak kali ini belum terjawab.
Untuk rekod, DUN Demak Laut kini disandang oleh Datuk Dr Hazland Abang Hipni daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang mempertahankan kerusi itu pada PRN Sarawak 2021 dengan majoriti 6,399 undi.
Abang Johari sebelum ini merupakan ADUN Gedong selepas beralih dari DUN Satok pada PRU Sarawak ke-12.
Pada 5 November lalu, Abang Johari berkata senarai calon GPS bagi PRU ke-13 masih belum dimuktamadkan, manakala keputusan mengenai calon akan ditentukan kemudian.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, 8 Disember bagi pengundian awal dan 12 Disember sebagai hari pengundian PRU Sarawak ke-13.




