DEBAK: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berharap sokongan rakyat dapat dikekalkan pada hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13, 12 Disember depan.
Beliau berkata, jumlah pengundi di kawasan itu meningkat daripada 10,984 orang pada PRU Sarawak ke-12 kepada 17,382 orang berdasarkan data terkini tahun ini.
“Peningkatan ini bukan sahaja disumbangkan oleh pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik bagi mereka yang berumur 18 tahun ke atas, malah turut melibatkan anak jati Saribas yang menukar alamat pendaftaran pengundi ke kampung masing-masing di kawasan DUN Saribas.
“Peningkatan ini dilihat sebagai petunjuk trend sokongan ke atas GPS ekoran rakyat semakin memahami dasar pembangunan Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang banyak membawa manfaat kepada mereka.
“Saya berharap sokongan ini akan berterusan sehingga ke peti undi pada 12 Disember depan, termasuk daripada golongan pengundi muda,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti berkata, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan GPS selama ini berteraskan pendekatan yang mengutamakan rakyat, sekali gus mudah difahami dan diterima oleh masyarakat daripada pelbagai generasi.
Katanya, rakyat turut memberikan respons positif pelaksanaan serta impak Pelan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang kini semakin menampakkan hasil.
Beliau terdahulu merasmikan Majlis Anugerah Peringatan Jubli Intan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas di Dewan Akademia.




