ARTIKEL

Pelajar yang hadir dalam Program Discover PETRONAS @School Outreach: Mathematics Camp Baleh, baru-baru ini.

PETRONAS salur bantuan persekolahan kepada 534 murid di Baleh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BALEH: Seramai 534 murid daripada 10 sekolah di sekitar Baleh menerima bantuan kelengkapan persekolahan daripada PETRONAS sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan 2027.

Bantuan itu disalurkan menerusi inisiatif Kit Permulaan Persekolahan yang melengkapi program Discover PETRONAS @School Outreach: Mathematics Camp Baleh di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bawai, baru-baru ini.

Program anjuran PETRONAS dengan kerjasama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) itu turut menyediakan pelbagai aktiviti pembelajaran interaktif bagi memberikan pendedahan kepada murid mengenai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Kecerdasan Buatan (AI).

Antara pengisian program termasuk modul Matematik, Robotik, Pemikiran Komputasional dan teknologi Superkomputer Kecerdasan Buatan.

Aktiviti berkenaan dirangka bagi memberikan pengalaman pembelajaran secara amali kepada murid, selain memperkenalkan mereka kepada perkembangan teknologi baharu.

Menerusi inisiatif itu, PETRONAS berharap murid, khususnya di kawasan luar bandar, berpeluang memperoleh pendedahan awal serta membina pengetahuan dan kemahiran asas dalam bidang STEM dan AI.

Selain program jangkauan pendidikan itu, PETRONAS turut menyalurkan bantuan persekolahan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kapit.

Bantuan berkenaan diberikan kepada murid dan sekolah yang dikenal pasti oleh JPNS bagi memastikan golongan sasar memperoleh kelengkapan asas untuk memulakan sesi persekolahan.

Antara sekolah yang menerima manfaat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baleh, SK Temenggong Koh, SK Bawai, SK Nanga Sempili dan SK Nanga Mujong.

Turut terlibat ialah SK Nanga Kain, SK Lepong Gaat, SK Nanga Stapang, SK Tunoh dan SK Entulu.

Pelaksanaan kedua-dua inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan PETRONAS dalam memperluas peluang pendidikan menerusi teras impak sosialnya, PETRONAS Memperkasa Ilmu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU