BETONG: Akronim B-E-T-O-N-G yang membawa makna tersendiri dijadikan mandat transformasi Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan agensi teknikal itu kepada rakyat.
Jurutera Bahagian, Jason Ng Boon Tuan, berkata B-E-T-O-N-G merupakan kerangka nilai dan prinsip kerja yang digariskan selaras dengan aspirasi perkhidmatan JKR di bahagian ini.
Menurutnya, huruf B membawa maksud berintegriti yang menekankan sifat amanah dan tanggungjawab dalam pengurusan dana awam, ketelusan dalam laporan serta keputusan teknikal, selain tidak berkompromi terhadap etika dan tatakelola kerja.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Jurutera Bahagian JKR Bahagian Betong di sini, semalam.
Sementara itu, huruf E merujuk kepada efisien yang memberi penekanan terhadap disiplin dalam pematuhan jadual dan pencapaian penanda aras projek, tindakan responsif serta penyelesaian pantas isu di tapak, selain memastikan proses kerja yang sistematik, terancang dan berfokuskan hasil.

Huruf T pula membawa maksud tegas, iaitu ketegasan terhadap prestasi dan akauntabiliti kontraktor, pemantauan rapi terhadap pematuhan spesifikasi dan piawaian serta keberanian membuat keputusan profesional demi kepentingan awam.
Seterusnya, huruf O ialah orientasi kualiti dengan membudayakan pemikiran sifar kecacatan (zero defect mindset), kawalan mutu yang konsisten dan berterusan serta penyampaian infrastruktur yang selamat, berkualiti dan mampan.
Huruf N merujuk kepada niat khidmat yang mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat, pelaksanaan projek berimpak tinggi kepada komuniti serta memperkukuh sinergi dan semangat kerja berpasukan.
Manakala huruf G membawa maksud gigih, mencerminkan komitmen warga JKR Bahagian Betong untuk terus cekal berdepan tekanan dan cabaran, proaktif mencari penyelesaian inovatif serta sentiasa meningkatkan kompetensi dan profesionalisme diri.
Sebagai simbol komitmen bersama, seluruh warga JKR Bahagian Betong turut melafazkan Ikrar Mandat B-E-T-O-N-G dengan penuh iltizam dan semangat kebersamaan.
Majlis yang disertai 148 kakitangan itu dimulakan dengan pembentangan komprehensif oleh Penolong Jurutera Bahagian (Operasi) dan Penolong Jurutera Bahagian (Pembangunan) yang mengupas pencapaian signifikan, prestasi semasa serta cabaran strategik di sektor masing-masing.
Menurut Jason, perkara itu mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam memastikan penyampaian projek berimpak tinggi kepada rakyat.
Majlis turut diserikan dengan penyerahan rasmi Year Book 2025 JKR Bahagian Betong bertemakan “From Vision To Reality: JKR Betong Achievements” oleh Ketua Editor, Hasrul Nizzah Abu Hassan bersama pasukan editorialnya.
Buku tersebut merupakan dokumentasi pencapaian yang membuktikan keupayaan jabatan merealisasikan perancangan kepada hasil yang nyata.
Sebagai penghargaan atas sumbangan cemerlang dalam aktiviti sukan dan sosial jabatan, sijil penghargaan turut disampaikan kepada Jerrard Lambert Edward, Christina Bada dan Khairul Azhar Rakli atas dedikasi serta komitmen mereka mengharumkan nama jabatan.


