ARTIKEL

Gambar hiasan

Aksi Kejar-Mengejar di Jalan Kuching-Serian, Remaja Dihukum Mahkamah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang remaja lelaki diperintahkan supaya berkelakuan baik selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menghalang tugas polis ketika hendak melakukan pemeriksaan dengan merempuh kereta pacuan empat roda polis dan melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan di Jalan Kuching-Serian pada 28 Oktober lalu.

Majistret Ling Hui Chuan mengeluarkan perintah itu selepas mendengar laporan sosial pesalah muda berkenaan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.

Remaja lelaki berusia 19 tahun itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, iaitu tiga anggota polis, dengan merempuh kereta polis menggunakan kereta Perodua Viva.

Dia melakukan kesalahan itu di Jalan Kuching-Serian sekitar jam 10.30 malam pada 28 Oktober lalu.

Menurut fakta kes, pengadu yang merupakan anggota polis berpangkat koperal melaporkan bahawa dia bersama dua lagi rakan setugas hendak memeriksa sebuah kenderaan mencurigakan yang diletakkan di tepi jalan.

Namun secara tiba-tiba pemandu kereta tersebut mengundurkan kenderaan lalu melanggar bahagian pintu belakang sebelah kiri kenderaan polis jenis Toyota Hilux sebelum melarikan diri.

Berlaku aksi kejar-mengejar antara mereka sehingga ke simpang Kampung Melayu, Kota Samarahan sebelum kereta itu hilang daripada pandangan.

Tertuduh kemudiannya berjaya ditangkap oleh sepasukan polis dari Batu Kawa pada 29 Oktober lalu sekitar jam 7.00 petang.

Kenderaan milik tertuduh turut dirampas untuk dijadikan barang kes.

Hasil siasatan mendapati tertuduh menghalang tugas polis untuk melakukan pemeriksaan dengan cara melarikan diri dan melanggar kenderaan polis.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh diwakili Peguam Louis Jaraw.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU