KUCHING: Polis membuka kertas siasatan berhubung video tular berdurasi 28 saat yang memaparkan aksi seorang individu terjun dari Jambatan Darul Hana di Tebingan Kuching.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 24 Julai lalu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan secara gopoh atau cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan diri sendiri serta orang lain.
“Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau didenda maksimum RM500 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, usaha mengesan identiti individu terbabit serta mengesahkan kesahihan video berkenaan sedang giat dijalankan.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak melakukan tindakan berbahaya yang boleh mengancam nyawa semata-mata untuk menghasilkan kandungan di media sosial atau hiburan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Kuching di talian 082-244444 atau Pegawai Penyiasat, Insp. Aliff di 013-3115854 bagi membantu siasatan.



