ARTIKEL

Akta keselamatan dalam talian tingkat perlindungan kanak-kanak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa pada 1 Januari menambah lapisan baharu kepada kerangka kawal selia negara bagi platform digital, khususnya dalam menangani kandungan berbahaya serta meningkatkan perlindungan keselamatan kanak-kanak.

Akta yang diluluskan Parlimen pada Disember 2024 dan diwartakan pada Mei 2025 itu akan beroperasi seiring dengan perundangan sedia ada, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperkenalkan kewajipan khusus kepada platform yang menjadi hos atau mengedar kandungan janaan pengguna dengan memberi tumpuan kepada pengurusan risiko sistemik berbanding pendekatan kes demi kes.

Undang-undang itu turut bertujuan menangani ketidakselarasan tindakan dalam kalangan platform digital yang sebelum ini banyak bergantung kepada dasar dalaman, susulan peningkatan laporan bahaya dalam talian di Malaysia. Polis merekodkan kerugian RM2.7 bilion akibat penipuan dalam talian antara Januari hingga November 2025.

Pada 24 Oktober lepas, polis mengumumkan kejayaan melumpuhkan rangkaian jenayah berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dengan penangkapan 31 individu serta rampasan lebih 880,000 fail digital.

Sejak 2022, sebanyak 38,470 item kandungan berkaitan buli siber dan gangguan dalam talian telah dihapuskan hasil tindakan kawal selia dan penguatkuasaan.

Data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan platform utama telah menghapuskan kira-kira 92 peratus daripada 697,061 hantaran yang ditandakan sebagai berbahaya antara Januari 2024 hingga November 2025, namun sebanyak 58,104 hantaran masih boleh diakses dalam talian.

Situasi ini menunjukkan bahawa walaupun kadar penghapusan adalah tinggi, sejumlah besar kandungan berbahaya masih terdedah kepada pengguna, termasuk kanak-kanak, keadaan yang dirumitkan lagi oleh peningkatan penggunaan alatan automatik dan kandungan janaan kecerdasan buatan seperti deepfake.

ONSA terpakai kepada penyedia perkhidmatan aplikasi serta penyedia perkhidmatan aplikasi kandungan, termasuk platform tempatan dan asing yang beroperasi di Malaysia atau menyasarkan pengguna di negara ini.

Akta itu meliputi pelbagai kategori kandungan berbahaya yang ditetapkan, termasuk bahan penderaan seksual kanak-kanak, penipuan dalam talian dan kewangan, bahan lucah atau pornografi, gangguan dan komunikasi mendera, kandungan berkaitan keganasan atau ekstremisme, bahan yang menggalakkan mencedera diri dalam kalangan kanak-kanak, kandungan yang menggalakkan permusuhan atau mengganggu ketenteraman awam serta kandungan berkaitan dadah berbahaya.

Di bawah kerangka ONSA, platform diwajibkan mengenal pasti dan mengurus risiko yang timbul daripada kandungan berbahaya dalam perkhidmatan mereka, termasuk mengurangkan pendedahan kepada kemudaratan utama, memastikan kategori kandungan tertentu tidak boleh diakses serta menyediakan mekanisme pelaporan dan sokongan pengguna.

Berbanding menangani hantaran berdasarkan kes demi kes, ONSA memberi tumpuan kepada tadbir urus platform dan amalan operasi, bukannya pengenaan liabiliti jenayah terhadap pengguna individu bagi ekspresi yang sah di sisi undang-undang.

Platform juga dikehendaki menyediakan dan menyerahkan pelan keselamatan dalam talian yang memperincikan langkah pengurusan risiko, dengan tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya kewajipan tersebut gagal dipatuhi.

Bagi perlindungan kanak-kanak, akta itu menghendaki langkah khusus seperti perlindungan berkaitan umur dan sekatan akses kepada bahan tertentu, yang dijangka mempengaruhi reka bentuk tetapan asal, alatan penemuan kandungan dan ciri interaksi bagi pengguna muda.

Bagaimanapun, ONSA tidak meliputi pemesejan peribadi seorang dengan seorang, tidak membenarkan pemantauan umum terhadap pengguna serta tidak mewujudkan kesalahan baharu berkaitan ucapan sah atau ekspresi politik.

Perlindungan prosedur turut diperuntukkan, termasuk keperluan notis sebelum tindakan penguatkuasaan, peluang untuk representasi, rekod awam arahan kawal selia serta akses kepada mekanisme rayuan dan semakan kehakiman.

Walaupun ONSA memperkenalkan struktur kawal selia rasmi bagi keselamatan dalam talian, akta itu tidak menggantikan usaha sedia ada dalam penguatkuasaan, pendidikan atau pencegahan, termasuk aspek celik digital, penglibatan ibu bapa dan norma tingkah laku dalam talian.

Menjelang pelaksanaan sepenuhnya, kesan praktikal ONSA dijangka bergantung pada tahap penyesuaian sistem oleh platform serta pendekatan pengawasan kawal selia dari semasa ke semasa.— BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU