SPAOH: Pasukan ZONE SQ membuktikan keunggulan apabila menewaskan 17 pasukan lain untuk muncul juara kejohanan PUBG MOBILE OOOHAAA Sarawak Activation Tour yang berlangsung di Dewan Serbaguna Spaoh, semalam.
Kemenangan itu membolehkan ZONE SQ membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 daripada keseluruhan tawaran hadiah berjumlah RM5,000.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban.
Menurut Uggah, e-sukan kini menjadi antara platform positif yang mampu mencungkil bakat belia selain membuka ruang kepada mereka untuk melakar kejayaan di peringkat lebih tinggi.
“Usaha Persatuan E-Sukan Sarawak menganjurkan program di peringkat akar umbi wajar diteruskan kerana berjaya menyediakan ruang kepada lebih ramai anak muda mengembangkan bakat.
“Kerjasama semua pihak perlu diperkukuh bagi memperluaskan lagi peluang dalam ekonomi digital kepada rakyat Sarawak, sejajar dengan pelaksanaan inisiatif kesalinghubungan MySRBN oleh Kerajaan Sarawak menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC),” katanya semalam.
Sementara itu, pasukan AKATSUKI muncul naib juara dengan membawa pulang RM1,500, manakala LEGACY REBEL menduduki tempat ketiga dan menerima RM400.
Tempat keempat menjadi milik pasukan LMG yang membawa pulang RM200, sementara GB06 ESPORTS, JHUNTER, LANZ dan UNITY ESPORTS masing-masing menamatkan saingan di kedudukan kelima hingga kelapan dengan hadiah RM100 setiap pasukan.
Kejohanan yang menghimpunkan 18 pasukan membabitkan 90 pemain dari seluruh Sarawak itu merupakan hentian ke-13 PUBG MOBILE OOOHAAA Sarawak Activation Tour, inisiatif Tencent Games bagi mendekati komuniti e-sukan menerusi program akar umbi.
Selepas Spaoh, siri PUBG MOBILE OOOHAAA Sarawak Activation Tour akan diteruskan di Dewan Masjid Baharu Daerah Tatau pada 2 Ogos, Fastcult, Majlis Bandaraya Miri pada 8 hingga 9 Ogos, Borneo Animation and Games Festival di The Hills, Kuching pada 21 hingga 23 Ogos, Dewan Sri Krian pada 22 Ogos dan Batu Kawa Innovation Hub pada 30 Ogos.
Selain pertandingan, pengunjung turut mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti interaktif, permainan mini serta cabutan cenderamata eksklusif yang disediakan sepanjang program berlangsung.
MySRBN turut membuka reruai bagi memberi penerangan mengenai inisiatif kesalinghubungan digital, di samping menawarkan promosi dan pendaftaran kepada pengunjung.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri, dan Presiden Persatuan E-Sukan Sarawak (SESA), Afiq Fadhli Narawi.



