KUCHING: Pendekatan aktiviti interaktif kraf dalam Pameran Karya Agung – Seni Kraf Warisan Negara, khususnya melibatkan pelajar sekolah, merupakan usaha memperkukuh elemen kraf tempatan secara lebih praktikal dan menyeronokkan di peringkat akar umbi.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata, aktiviti seperti batik lukis dan batik blok yang dijalankan sepanjang pameran merupakan langkah awal untuk mendedahkan seni tekstil kepada generasi muda.


“Namun untuk jangka panjang, pelbagai program dan inisiatif pendidikan berasaskan seni kraf turut dilaksanakan bagi membuka ruang lebih luas kepada golongan belia dan anak muda untuk mendalami bidang ini secara serius,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Sesi Walkabout Pameran Karya Agung – Seni Kraf Warisan Negara di Muzium Kebudayaan Borneo di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali berkata, Kraftangan Malaysia turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi penubuhan Kelab Seni Kraf di sekolah.
“Kelab ini diletakkan di bawah Bahagian Kokurikulum kerana dalam sukatan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sememangnya telah merangkumi elemen seni kraf.
“Cuma melalui kelab ini, pelajar dapat mengaplikasikan kemahiran tersebut secara lebih aktif dan berstruktur sama seperti aktiviti interaktif kraf yang dilakukan di sini,” jelasnya.
Bagi kesinambungan pendidikan dalam bidang kraf, Institut Kraf Negara (IKN) menawarkan laluan pendidikan formal meliputi program diploma, sijil serta Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga.
“Sebagai contoh, kampus satelit IKN Sarawak di Kuching terdapat pengkhususan Songket Sarawak, manakala di Betong khusus dalam tenunan Pua.
“Kampus utama di Rawang pula menawarkan program sijil dan diploma dengan bidang yang ditawarkan termasuk songket, rotan, tenunan, seramik, logam dan lain-lain untuk dibangunkan secara formal.
“Kebiasaannya kita hanya melihat pendekatan melalui bengkel, namun kini ia telah dimasukkan di bawah sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agar mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.
“Lulusan diploma juga berpeluang menyambung pengajian ke peringkat ijazah dan seterusnya,” katanya.


