KUCHING: Program kemasyarakatan seperti Pertandingan Memancing Udang Galah 2026 di Kampung Rantau Panjang penting dalam mengeratkan hubungan kejiranan, gotong-royong dan perpaduan masyarakat.
Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Batu Kawa, Senator Datuk Ahmad Ibrahim berkata, program berkenaan bukan sekadar aktiviti santai, sebaliknya menjadi ruang untuk masyarakat berkumpul dan mengeratkan hubungan.
Menurutnya, penyertaan golongan muda dan keluarga dalam aktiviti kemasyarakatan perlu terus digalakkan supaya mereka mengenali jiran serta memahami nilai kehidupan bermasyarakat.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, keadaan jerebu yang dialami sejak beberapa hari kebelakangan ini dilihat semakin baik, namun orang ramai perlu terus berwaspada, khususnya bagi memastikan kesihatan kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan terjaga.
Mengulas mengenai suasana politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang, Ahmad mengingatkan masyarakat supaya perbezaan pandangan tidak menjejaskan hubungan kekeluargaan, persahabatan dan kejiranan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan maklumat yang diterima menerusi WhatsApp, Facebook dan platform media sosial lain sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

Untuk rekod, pertandingan yang disertai 58 peserta itu berlangsung dari jam 8 pagi hingga 1 petang hari ini, dengan Dol Sapuan muncul juara, diikuti Awang Ismail di tempat kedua dan Sapuan Amit di tempat ketiga.
Hadir sama Timbalan Premier merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian selaku tetamu kehormat; Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Cr Mahmud Ibrahim; Setiausaha Politik kepada Premier, Kho Teck Wan serta wakil lain.




