MIRI: Aktiviti penyelewengan minyak diesel yang dipercayai beroperasi di sebuah kawasan perindustrian di Senadin terbongkar selepas pihak berkuasa merampas diesel, kenderaan dan peralatan bernilai hampir RM95,000 dalam satu operasi bersepadu, semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, serbuan kira-kira 10 pagi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Miri di sebuah premis di Senadin Enterprise Park Phase 9, Desa Senadin Industrial Land.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki tempatan dipercayai menjalankan aktiviti pengumpulan dan penjualan semula minyak diesel secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati premis berkenaan dijadikan pusat pengumpulan diesel yang dibeli daripada pemandu kenderaan berat di sekitar Miri sebelum dipindahkan ke dalam tangki simpanan dan dijual semula kepada pelanggan dalam kalangan pemain industri di Bahagian Miri.
Pemeriksaan lanjut menemukan kira-kira 5,250 liter minyak diesel, sebuah lori tangki berkapasiti 5,000 liter, sebuah skid tank berkapasiti 10,000 liter serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan tersebut.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM94,787.50,” katanya.
Mohd Farhan berkata, pemilik premis didapati mempunyai permit sah yang dikeluarkan oleh KPDN bagi membolehkan pembelian, penggunaan dan penyimpanan diesel tidak bersubsidi sehingga 10,000 liter.
Bagaimanapun katanya, permit tersebut dipercayai disalahgunakan untuk menjalankan aktiviti pengumpulan dan penjualan semula bahan api bagi tujuan keuntungan.
“Kegiatan ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah berpotensi menjejaskan integriti sistem kawalan bekalan bahan api negara serta menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan,” ujarnya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak terlibat atau bersekongkol dengan sindiket penyelewengan diesel serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis dan KPDN bagi membantu membanteras kegiatan berkenaan.
Kes kini katanya disiasat di bawah Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan diserahkan kepada KPDN Cawangan Miri untuk tindakan lanjut.



