KUCHING: “Aku bukan berlawan untuk duit, aku berlawan untuk negara”, itu tekad jaguh Muay Thai negara, Rifdean Masdor menjelang misi memburu tali pinggang juara dunia ONE Championship di Tokyo, Jepun pada 17 Oktober depan.
Rifdean bakal mencabar juara bertahan dari Jepun, Nadaka Yoshinari bagi merebut kejuaraan dunia kategori atomweight pada kejohanan ONE Samurai 4, sekali gus berpeluang menjadi rakyat Malaysia kedua bergelar juara dunia di pentas ONE Championship.

Rifdean yang kini berada di Tokyo, Jepun bagi sesi pertemuan bersemuka menjelang pertarungan itu memberi amaran bahawa beliau datang ke Jepun dengan satu sasaran, iaitu merampas tali pinggang milik Nadaka.
“Pertama sekali, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Boss Chatri kerana memberi saya peluang untuk berlawan bagi kejuaraan dunia ONE atomweight.
“Dan Nadaka, saya datang ke sini untuk mengambil tali pinggang kamu. Kamu ada dua tali pinggang, jadi berikan saya salah satu daripadanya. Jumpa anda pada 17 Oktober,” katanya pada sidang media sesi pertemuan bersemuka di Tokyo, Jepun, semalam.
Sementara itu, dalam sesi Audio Siar Sembang Ohh Yeahh, beliau turut menyeru rakyat Malaysia memberikan sokongan penuh kepadanya sebagaimana sokongan yang diberikan kepada jaguh sukan tempur negara lain seperti Muhammad Johan Ghazali Zulfikar yang lebih dikenali sebagai Jojo dan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib.
“Orang Melayu terbang ke tanah Jepun, akan bawa tali pinggang itu balik ke tanah Melayu. Aku bukan berlawan untuk duit, aku berlawan untuk negara aku.
“Aku hendak kamu semua sokong aku macam mana kamu sokong Jojo dan Aliff. Aku pun rakyat Malaysia.
“Orang Malaysia, sokonglah aku. Untuk Malaysia kita, hanya kita yang akan sokong aku,” ujarnya.
Menurut Rifdean, kejayaan menewaskan Nadaka akan menjadi bukti bahawa dirinya mampu bersaing dengan petarung terbaik dunia.
“Kalau saya menang dengan beliau, sayalah yang terbaik di dunia.
“Sebab di Thailand orang cakap kalau saya berlawan dengan beliau, saya akan kalah. Tapi kalau saya tidak kalah, macam mana?” katanya.
Dalam pada itu, Nadaka dalam sidang media tersebut mengakui Rifdean merupakan lawan berbahaya yang mempunyai kuasa tumbukan untuk menamatkan pertarungan dengan satu serangan.
Nadaka turut mengakui rekod kemenangan kalah mati Rifdean yang tinggi menjadikan petarung Malaysia itu ancaman serius dalam perebutan tali pinggang kejuaraan dunia.
Rifdean sebelum ini menandatangani kontrak penuh bersama ONE Championship pada Jun lalu bernilai AS$100,000 (kira-kira RM409,000), selepas membuktikan potensi sebagai antara prospek terbaik Muay Thai negara.
Nadaka pula merupakan juara dunia kategori atomweight dan dikenali sebagai antara petarung terbaik Jepun dengan rekod 41 kemenangan tanpa tewas selama 7 tahun, sekali gus menjadikan pertembungan itu antara cabaran terbesar dalam karier profesional Rifdean.
Pertarungan berkenaan juga menjadi peluang penting buat Rifdean membuktikan kemampuan atlet Muay Thai Malaysia di pentas tertinggi dunia, selain meneruskan momentum kebangkitan sukan tempur negara di arena antarabangsa.




