KUALA LUMPUR: Selepas kemunculan dengan album tradisional ’Belagu II’ pada tahun lepas, penyanyi bergenre pop, R&B dan balada, Dayang Nurfaizah, bakal tampil dengan album baharu berjudul ’Janji’ yang akan dilancarkan pada 22 November akan datang.
Album dengan 13 buah lagu itu mengetengahkan kedalaman emosi penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini.
Ia bertemakan cinta, harapan dan kekuatan yang dipersembahkan dalam campuran lagu balada dan rancak.
Sebuah lagu yang terkandung di dalam album itu berjudul ’Lemah’, ciptaan Hael Husaini, dengan susunan oleh Mac Chew.
Ia akan mula disiarkan secara penstriman di semua platform utama pada Jumaat depan.
“Lagu ini sangat bermakna bagi saya.
“Saya telah mencurahkan hati saya ke dalam ’Lemah’, dan saya harap lagu ini dapat menyentuh pendengar dengan mendalam.
“Bekerja dengan Hael sentiasa memberikan pengalaman yang luar biasa.
“Keterampilan muziknya dalam mencipta melodi yang indah dengan emosi yang tulus dan tema yang boleh dikaitkan, memang tiada bandingan lagi.
“Saya tidak sabar untuk melihat bagaimana kerjasama terbaharu kami berkembang,” kongsinya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Hael menganggap kerjasama dengan Dayang Nurfaizah sebagai satu penghormatan.
Dia menyifatkan suara dan tafsiran Dayang sebagai memberi jiwa kepada lagu dengan cara yang benar-benar istimewa.
Video muzik untuk lagu tersebut dihasilkan oleh penerbit terkenal, Lily Samsuddin, yang bakal memperdalam impak emosi lagu itu secara visual menggunakan metafora. – BERNAMA

