KUCHING: Bintang muda kelahiran Sarawak, Aleysha Shareef Van Der Horst, 13, sekali lagi melebarkan sayapnya di arena muzik antarabangsa menerusi pelancaran single terbaharunya bertajuk “WINGS”.
Single berkenaan sudah boleh didengari secara global di pelbagai platform hiburan digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music.
Pelancaran terbaharu ini menyusul selepas kejayaan single antarabangsa pertamanya, “SHINE LIKE US”, yang diterbitkan pada Februari lalu.

Menerusi pencapaian berkenaan, Aleysha mencipta sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai rakyat Malaysia termuda yang pernah menerbitkan single antarabangsa dalam bahasa Inggeris.
Kedua-dua karya itu merupakan hasil ciptaan dan terbitan komposer terkenal berpangkalan di Amerika Syarikat, Manny Mijares.
Penyanyi balada berbakat yang kini giat mendalami piano itu sememangnya tidak asing dengan pencapaian bertaraf dunia.

Pada 2024, beliau mewakili Malaysia di World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles dan membawa pulang dua pingat emas serta satu pingat gangsa.
Beliau turut melakar sejarah sebagai anak Malaysia pertama yang menerima tawaran biasiswa ke New York Film Academy menerusi kejohanan tersebut.
Mengekalkan momentum cemerlang, Aleysha sekali lagi dipilih mewakili negara pada April lalu di pertandingan SanRemo Junior World Finals di Itali.
Bersaing dengan peserta berusia 13 hingga 15 tahun dari 19 negara, beliau berjaya tersenarai dalam kalangan lima pencapai terbaik dunia dan merupakan salah seorang daripada empat peserta yang menerima Anugerah Khas (Special Mention Award).
Di platform digital, konsistensi Aleysha dalam pertandingan nyanyian dalam talian International Youth Music Competition (IYMC) di Amerika Syarikat membolehkan beliau dinobatkan sebagai Pemenang Mutlak Tahunan (Absolute Winner for the Year) 2025.
Kemenangan itu membawa undangan eksklusif untuk membuat persembahan di dewan ternama dunia seperti DiMenna Centre for Classical Music di New York dan Royal Academy of Music di London.
Bagaimanapun, demi mengutamakan keluarga, undangan persembahan itu tidak diteruskan berikutan kos perjalanan antarabangsa yang tinggi.
Ibu beliau, Shirley Hasmani Datuk Eddie, menjelaskan bahawa mereka lebih bersyukur dengan pencapaian Aleysha setakat ini berbanding mengejar siri persembahan resital di luar negara.
Sebagai tanda kesyukuran atas pelancaran “WINGS”, Aleysha bersama-sama keluarganya meluangkan masa melawat sebuah rumah anak yatim di Kuching.
Selain menyumbangkan barangan keperluan dan makanan, beliau turut berkongsi kisah perjalanannya bagi memberi motivasi kepada lebih 50 anak-anak di sana.
Majlis turut diwarnai dengan persembahan istimewa lagu “WINGS” serta dua buah lagu lain secara santai.
Beliau turut melayan mesra sorakan peminat baharu dengan menandatangani autograf.
Menerusi bakat dan sokongan padu keluarga, pelancaran “WINGS” terus membuktikan keupayaan Aleysha untuk mengembangkan kerjaya muziknya di persada antarabangsa.



