Selepas setahun mencipta nama dalam industri muzik tempatan, kumpulan pop sensasi Malaysia, Alpha, bakal melakar satu lagi pencapaian penting menerusi penganjuran konsert sulung mereka, The First Wave, yang dijadualkan berlangsung pada September ini.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Naib Presiden Rocketfuel Entertainment, Prem Rajahram Anand, ketika majlis pelancaran album terbaharu kumpulan itu yang turut berjudul The First Wave.
Pengumuman berkenaan bukan sahaja mengejutkan peminat yang hadir, malah dibuat tanpa pengetahuan anggota kumpulan Alpha sendiri.
Salah seorang anggota Alpha, Araff Mohamed, mengakui teruja dengan berita tersebut dan menyifatkannya sebagai hadiah istimewa buat mereka selepas setahun berada dalam industri muzik.
“Kami memang tidak mengetahui mengenai konsert yang akan berlangsung nanti. Pada masa sama, kami sangat teruja dan gembira dengan pengumuman ini,” katanya.
Alpha merupakan kumpulan pop yang dibentuk menerusi program realiti Big Stage Alpha dan dianggotai tujuh anak muda berbakat, iaitu Daniel Sher, Ray-D, Afiq Sky, Rizal Rasid, Izat Ibrahim, Ariel Fesol dan Araff Mohamed.
Bersempena ulang tahun pertama penubuhannya, Alpha turut melancarkan album sulung mereka yang memuatkan 12 lagu.
Antara lagu yang dimuatkan dalam album tersebut ialah Mona Lisa, P. Ramlee dan Saloma, Bujang, Tiada Pengganti dan Gelato, selain beberapa karya baharu seperti Mahkota Cinta, Gerak, Roman Empire dan Dia.
Turut menjadi perhatian ialah lagu Burn It Down yang dihasilkan oleh komposer antarabangsa, Daniel Caesar dan Candace Sosa. Lagu tersebut dirakamkan ketika Alpha menjalani latihan intensif di Korea Selatan.
Daniel Caesar dan Candace Sosa sebelum ini pernah menghasilkan karya untuk beberapa nama besar dalam industri muzik K-pop serta artis antarabangsa.
Sementara itu, pengumuman konsert sulung Alpha turut disambut baik oleh peminat mereka yang dikenali sebagai Alphanite. Ramai dalam kalangan mereka meluahkan keterujaan di media sosial dan menyifatkan konsert berkenaan sebagai detik yang dinanti-nantikan sejak kumpulan itu ditubuhkan.



