BINTULU: Penduduk di Rumah Maisie Jambai, Sebauh, berdepan detik cemas awal pagi tadi apabila berlaku kejadian tanah runtuh susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Tuai Rumah Maisie Jambai berkata, kejadian itu disedari berlaku sekitar tengah malam selepas anjing peliharaan mereka menyalak tanpa henti.

Menurutnya, pada jam 6 pagi, beliau bersama suami mendapati struktur tanah di laluan hadapan rumah mula mendap manakala kira-kira 30 minit kemudian pergerakan tanah menjadi semakin ketara.
Runtuhan besar dilaporkan berlaku antara jam 8 hingga 9 pagi.
“Beliau bagaimanapun bersyukur kerana tiada penduduk berada di laluan berkenaan ketika kejadian berlaku,” katanya.
Insiden tersebut difahamkan bukan kali pertama berlaku memandangkan kejadian serupa pernah dilaporkan pada awal 2014 di bahagian belakang rumah panjang terbabit.
Permohonan pembinaan benteng keselamatan telah dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak beberapa tahun lalu, namun sehingga kini masih tiada tindakan susulan diambil.
Sehubungan itu, penduduk berharap pihak berkuasa dapat segera menilai situasi semasa dan melaksanakan langkah mitigasi dengan kadar segera.
Dalam pada itu, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Steven Kong Kai Seng bersama kakitangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen telah turun meninjau lokasi kejadian.
Sebagai langkah keselamatan, Sarawak Energy akan memutuskan bekalan elektrik selama tiga hari bagi kerja pemindahan tiang kabel, manakala pihak JKR sedang menyediakan laluan sementara selain memasang kanvas di sepanjang kawasan terjejas.

