MIRI: Tragedi nahas helikopter berhampiran Lapangan Terbang STOL Long Lellang perlu menjadi pencetus kepada kajian lebih menyeluruh terhadap aspek keselamatan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS).
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, keselamatan penerbangan bukan sahaja membabitkan juruterbang, pengendali dan pesawat, malah perlu merangkumi penumpang serta petugas yang bergantung kepada perkhidmatan udara bagi melaksanakan tugas penting.
“Kita mesti memastikan kesalinghubungan penjagaan kesihatan kepada masyarakat pedalaman terus dilindungi, sementara pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan dan kajian keselamatan yang diperlukan.
“Perkhidmatan FDS merupakan talian hayat penting kepada banyak komuniti luar bandar dan pedalaman Sarawak yang bergantung kepada akses udara untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan,” katanya dalam kenyataan media berhubung nahas helikopter berhampiran Lapangan Terbang STOL Long Lellang, pada Selasa (8 September).
Lee berkata, beliau yang tiba di Miri dari Kuching kira-kira 8.20 malam semalam terus ke Pusat Operasi Kecemasan (EOC) di Lapangan Terbang Miri bagi menghadiri taklimat dan mesyuarat penyelarasan berhubung kejadian itu.
Katanya, perbincangan turut meliputi urusan pengangkutan dan logistik bagi operasi berkaitan, selain beliau berkesempatan bertemu sendiri dengan ahli keluarga mangsa untuk memaklumkan perkembangan terkini serta urusan operasi.
“Pada ketika ketidaktentuan dan kesedihan seperti ini, adalah penting untuk keluarga mengetahui bahawa mereka tidak bersendirian dan akan terus dimaklumkan serta diberikan sokongan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa punca nahas perlu ditentukan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan Persekutuan, selain menggesa semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi.
Lee berkata, Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) sebelum ini bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam meningkatkan kesedaran keselamatan penerbangan.
Katanya, kementerian itu akan meneroka kemungkinan memperluas inisiatif berkenaan kepada doktor, jururawat dan petugas perubatan lain yang kerap menggunakan helikopter atau pesawat kecil bagi memberikan perkhidmatan kepada masyarakat pedalaman.
“Keselamatan penerbangan bukan sahaja harus menjadi perhatian juruterbang, pengendali dan pesawat.
“Ia juga perlu merangkumi penumpang serta petugas yang bergantung kepada penerbangan untuk melaksanakan perkhidmatan awam penting,” katanya.
Beliau berkata, kesinambungan FDS kekal sebagai pertimbangan penting memandangkan banyak komuniti pedalaman bergantung kepada akses udara untuk mendapatkan rawatan kesihatan.
“Kita mesti belajar daripada tragedi ini, memperkukuh sistem di mana perlu dan memastikan mereka yang berkhidmat kepada masyarakat pedalaman dapat melaksanakan tugas dalam persekitaran yang paling selamat,” katanya.
Lee turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, rakan sekerja dan insan tersayang juruterbang serta empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia yang terkorban dalam nahas berkenaan.
“Ingatan dan doa saya terus bersama keluarga dalam saat yang amat menyakitkan dan sukar ini.
“Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketenangan pada hari-hari mendatang,” katanya.





